PUTRAJAYA – Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif kepada ke atas lebih 180 negara dan wilayah termasuk negara-negara Kesatuan Eropah menerusi dasar perdagangan baharunya hanya akan memakan diri.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu akan memberi kesan buruk kepada negara itu sendiri kerana bakal berdepan peningkatan kos sara hidup.
Jelasnya, ini kerana tarif yang dikenakan kelak akan menyusahkan pengimport di negara tersebut yang terpaksa meningkatkan harga produk.
Lebih buruk Dr M berkata, ia membuka risiko inflasi di AS.
“Ini kerana tarif yang tinggi itu dibayar bukan oleh pengeksport dari negara lain, tetapi dibayar oleh pengimport di Amerika. Apabila mereka terpaksa membayar tarif yang tinggi, mereka terpaksa menjual produk pada harga yang lebih tinggi.
“Dan ini bermakna ia menjejaskan ekonomi negara. Akan berlaku inflasi kerana pengimport tidak akan mengenakan harga yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Buku dan Dialog Khas Bersama Tun Dr Mahathir mengenai Cabaran Pembangunan Ekonomi di Abad Ke-21.
Mengulas lanjut katanya, produk tempatan AS tetap dijual dengan kadar harga tinggi ekoran keputusan tersebut meskipun mahu menggantikan produk import.
“(Sebagai contoh) Pengeluar kenderaan bermotor mesti menghasilkan produk untuk menggantikan pengimport. Tetapi Amerika adalah negara yang kosnya tinggi.
“Setiap produk dari Amerika membawa kos yang tinggi disebabkan oleh upah yang tinggi dan banyak amalan di Amerika, seperti harga dan cuti, dan lain-lain, menaikkan harga kenderaan Amerika.
“Mereka tidak dapat menandingi kenderaan yang diimport dari luar Amerika Syarikat,” tambahnya.
Kesimpulannya, Dr Mahathir berkata meskipun AS mahu mengenakan tarif kepada negara luar namun ia akan mengakibatkan rakyatnya sendiri ‘merana’.
“Apabila anda mengenakan tarif yang tinggi, bukan sahaja orang asing yang akan menderita, rakyat anda sendiri juga menderita. Sebagai contoh, apabila kita mengenakan tarif yang tinggi terhadap kenderaan bermotor, ia adalah untuk melindungi industri kenderaan bermotor kita sendiri.
“Jadi apabila tarif yang tinggi dinaikkan, lebih banyak kereta asing boleh masuk, kita boleh menjual kereta kita sendiri pada harga kita. Tetapi apabila, di Amerika, kita mengenakan tarif yang tinggi, sesebuah negara terpaksa membayar harga yang tinggi,” jelasnya.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antaranya mengumumkan akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara lain.
Antaranya termasuk beberapa rakan dagang terbesar AS, sekali gus meningkatkan perang perdagangan yang telah menggegarkan pasaran global dan mengelirukan sekutu AS.
Duti menyeluruh itu akan membina halangan baharu di sekitar ekonomi pengguna terbesar dunia, merombak semula beberapa dekad liberalisasi perdagangan yang membentuk susunan global.
Rakan dagang dijangka bertindak balas dengan langkah mereka sendiri yang boleh membawa kepada kenaikan harga secara mendadak bagi pelbagai barangan daripada basikal hingga wain.-MalaysiaGazette