Delegasi khas UiTM menerusi U-DServeD berlepas ke Uzbekistan hari ini bagi melaksanakan misi kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan inklusif untuk OKU. – Foto: FB Universiti Teknologi MARA

KUALA LUMPUR – Satu delegasi khas dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Pengarah U-DServeD (Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU), Prof. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias berlepas ke Uzbekistan hari ini, bagi melaksanakan misi kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan inklusif untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Delegasi UiTM itu dijadualkan berada di Tashkent sehingga 25 Mei ini untuk menjalin hubungan strategik dengan Tashkent State University of Economics (TSUE), sebuah universiti awam yang berhasrat menubuhkan Unit OKU berasaskan model pembangunan yang telah dibangunkan oleh UiTM.

UiTM menerusi kenyataan di laman sosial Facebook hari ini memaklumkan, lawatan itu bertujuan berkongsi pengalaman, memberikan input teknikal serta membantu TSUE dalam membangunkan sebuah Pusat Pendidikan Inklusif yang mampan dan berdaya saing.

Katanya, ia sejajar dengan usaha memperkasakan hak serta akses pendidikan untuk komuniti OKU di peringkat global.

Menurut Roslinda, inisiatif itu merupakan satu langkah besar dalam mempromosikan amalan terbaik Malaysia dalam pengurusan dan pembangunan perkhidmatan OKU di institusi pengajian tinggi.

“Semoga segala urusan dipermudahkan dan memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti OKU di Malaysia, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan inklusif di Uzbekistan,” ujar beliau.

Tambahnya, UiTM menerusi U-DServeD terus komited dalam memperjuangkan pendidikan yang inklusif, sejajar dengan semangat “Jom Cakna OKU” yang menjadi asas kepada perjuangannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here