KUALA LUMPUR – Sambutan luar biasa pada program turun padang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sabah kelmarin, membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Sabah.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, lawatan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membuktikan bahawa semangat perjuangan UMNO masih hidup di akar umbi.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, sambutan yang diterima juga menunjukkan kesiapsiagaan jentera parti UMNO dan BN di peringkat kawasan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ramai rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar, masih mengingati zaman pemerintahan BN yang stabil dan terancang.
“Ketika itu, tumpuan diberikan kepada pembangunan asas – jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang pekerjaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Menurut Salleh, dalam suasana politik yang tidak menentu dan kerap berubah-ubah, rakyat Sabah semakin merindui kepimpinan yang mampu menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Sehubungan itu, katanya, UMNO telah membuktikan keupayaannya sebagai parti yang menjaga perpaduan dan kestabilan negeri.
“UMNO dan BN bukan parti baharu. Kita ada rekod pencapaian yang nyata, struktur organisasi yang tersusun, dan pengalaman luas dalam pentadbiran.
“Rakyat tidak mahu lagi terperangkap dengan janji manis yang tidak ditepati,” katanya.
Dalama pada itu, beliau turut menyifatkan kesediaan Ahmad Zahid memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah membuat keputusan berhubung soal parti, termasuk berkaitan PRN-17 sebagai satu penghormatan kepada kepimpinan tempatan dan selaras dengan semangat autonomi Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Tegas beliau, PRN Sabah yang akan diadakan hujung tahun ini bukan sekadar soal politik atau pertandingan parti, sebaliknya ia merupakan soal menentukan arah masa depan Sabah, kestabilan politik, pembangunan menyeluruh dan pembelaan kepada rakyat.
“UMNO dan BN, bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan, bersedia memikul tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan,” katanya.
Kelmarin, Ahmad Zahid turun padang ke beberapa kawasan di Sabah antaranya di Karambunai; Kemabong; Sepanggar dan Tenom bagi melancarkan GERAK-17 iaitu inisiatif BN menjelang PRN-17. – MalaysiaGazette