KUALA LUMPUR – Aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong gesaan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya pihak berkuasa menyiasat kontroversi video `duit kotor’ yang didakwa melibatkan Ketua Cabang PKR.
Menurut Fairul al-Qasas, Ahmad Fadhli juga boleh meminta Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang baru dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) untuk memanjangkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.
Tambah bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau berkenaan, sebagai ahli PKR, beliau amat sedih sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku memandangkan PKR adalah parti yang paling kuat menentang segala amalan rasuah dan amalan politik wang.
Jelasnya, setiap dana yang diterima wajib dimasukkan ke dalam akaun rasmi Cabang PKR dan wajib diaudit serta dibentangkan penyatanya dalam mesyuarat agung tahunan Cabang.
“Membenarkan dana dari mana-mana masuk tanpa melalui akaun rasmi cabang dan menyerahkan perbelanjaan kepada kebijaksanaan Ketua Cabang sebenarnya akan merosakkan Ketua Cabang itu sendiri.
“Ini kerana dana yang tidak diaudit akan membuka kepada salah guna kuasa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah video yang tular di media sosial yang didakwa memaparkan seorang ketua cabang PKR membincangkan sumbangan kewangan daripada seorang ahli perniagaan terkenal.
Fadhli Shaari menegaskan, perkara itu bukan sekadar isu disiplin dalaman PKR semata-mata, sebaliknya berpotensi melanggar undang-undang negara, khususnya Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Sementara, Fairul memberikan contoh sebanyak RM30,000 yang diperoleh Ketua Cabang sekiranya diseleweng boleh digunakan untuk membeli atau mempengaruhi ahli cabang dalam pemilihan parti.
Katanya, ahli yang ‘dibeli’ diperingkat cabang akan lebih mudah dibeli untuk menentukan undi diperingkat Pusat.
Seterusnya, tambah beliau, proses memilih pemimpin akan menjadi rosak kerana mudah dicemari oleh mereka yang mempunyai dana yang besar.
“Akibatnya anggota perwakilan meninggalkan perjuangan asas untuk menentang korupsi, kronisme dan népotisme, serta berkhidmat kepada rakyat.
“Perwakilan yang telah biasa ‘disuap’ akan meminta lebih dan menyokong mereka yang boleh memberikan habuan tersebut.
“Ia akan menjadi kitaran rasuah seterusnya mengganggu fokus pemimpin parti untuk membangunkan negara.
“Untuk elak dari dijatuhkan pemimpin tersebut terpaksa membiarkan pegawainya membayar anggota cabang atas nama ‘menjaga ahli’,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Fairul, Menteri dan barisan pentadbir dalam PKR sepatutnya fokus untuk memperkasakan rakyat dengan membangunkan program yang memberi manfaat tanpa diganggu-gugat dengan ancaman kerana akan dijatuhkan disebabkan ‘tidak menjaga ahli’.
Dalam masa sama, ujar beliau, anggota dan perwakilan PKR wajib lebih bijak dengan memilih pemimpin yang mempunyai prestasi kerja yang baik, bukan yang paling banyak berbelanja untuk anggota parti.
“Sebagai parti kerajaan, pilihan kita akan menentukan pemimpin kerajaan. Pemimpin kerajaan akan menentukan dasar negara.
“Pilihlah mereka yang boleh bekerja untuk rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette