KUALA LUMPUR – Video muzik Kelepok Raya yang dihasilkan oleh Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman pada 2022 bukan bertujuan menyokong atau mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam mana-mana laman media sosial miliknya.
Usahawan terkenal itu sebaliknya menegaskan di Mahkamah Sesyen Sepang dekat sini, beliau tidak akan bertindak demikian dalam keadaan dirinya yang sudah berkahwin dan mempunyai enam cahaya mata.
Aliff Syukri menegaskan, beliau tidak akan membuat perkara yang menjadi contoh tidak baik kepada keluarga seperti mempromosikan LGBT yang ditohmah terhadapnya.
Menurut usahawan itu, beliau baru menerima Anugerah Khas Ikon Belia Wilayah Persekutuan semalam selain menjadi pembayar zakat tertinggi di Selangor selama hampir 10 tahun berturut-turut.
“Saya ingin memohon maaf, saya sama sekali tidak mempromosikan LGBT dalam mana-mana platform media sosial. Tidak mungkin saya ingin menjatuhkan maruah sendiri,” ujarnya.

Aliff Syukri, 38, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakilinya, Awang Armadajaya Awang Mahmud pada prosiding bela diri hari pertama di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Pada prosiding itu, beliau turut memberitahu mahkamah, inspirasi untuk menghasilkan video Kelepok Raya diambil daripada dua buah video muzik penyanyi tempatan, Hael Husaini dan Elizabeth Tan.
Katanya, dia telah menunjukkan dua video muzik berkenaan kepada penari-penari yang terlibat di dalam penghasilan Kelepok Raya dan mahu video muzik sedemikian.
“Penari-penari dalam video itu adalah penari-penari profesional yang saya upah untuk menari dan berlakon bersama saya. Saya memberikan kebebasan mereka mengenakan pakaian sendiri yang dirasakan sesuai dan tiada sebarang paksaan.
“Berkaitan solekan pula, saya juga memberikan mereka kebebasan untuk mengenakannya kerana ia perkara biasa untuk pelakon agar tidak kelihatan kusam dan berminyak di dalam kamera.
“Dari segi gaya tarian, saya memberitahu mereka untuk buat secara free style atau gaya bebas mengikut cita rasa masing-masing dan saya tidak menggunakan khidmat mana-mana choreographer, semua penari diberi kebebasan menari,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff turut memaklumkan mahkamah dia tidak pernah memuat naik empat klip video muzik Kelepok Raya ke akaun Instagram @aliffsyukriterlajaklaris.
Sebaliknya beliau percaya salah seorang daripada dua pembantunya yang melakukan perkara tersebut memandangkan mereka yang memegang telefon bimbitnya serta akses ke akaun Instagram tersebut.
“Pada bila-bila masa, saya tidak pernah memberi apa-apa arahan kepada mana-mana pekerja saya untuk memuat naik mana-mana bahagian dari muzik video Kelepok Raya ke dalam mana-mana laman media sosial saya.
“Ini kerana, video muzik tersebut belum melalui proses suntingan serta kelulusan saya sebelum ia dimuat naik ke dalam akaun-akaun media sosial,” katanya lagi.
Selepas prosiding pemeriksaan utama oleh Awang Armadajaya selesai, mahkamah menetapkan 22 Mei ini bagi pemeriksaan balas oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu @aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette