Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan tindakan tegas dan segera diambil terhadap vape berperisa mushroom.

Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membenteras Gejala Dadah itu berkata, ancaman baharu itu boleh menyebabkan halusinasi dan gangguan mental khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.

Ini kerana bahan itu mengandungi bahan psikoaktif seperti psilocybin dan psilocin yang berisiko tinggi menyebabkan halusinasi dan gangguan mental.

“Saya telah arahkan supaya tindakan tegas segera diambil tanpa kompromi untuk membanteras perkara ini,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, isu penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan dan telah menjadi ancaman besar kepada struktur sosial, keselamatan awam serta kestabilan ekonomi negara.

Justeru mesyurat itu meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027 bagi memastikan pendekatan menyeluruh, strategik dan tegas diambil dalam membanteras gejala

Pelan strategik itu menumpukan kepada perubahan sikap, peningkatan kesedaran, dan penyampaian maklumat yang tepat melalui sinergi pelbagai agensi ke arah gerakan nasional melawan dadah secara kolektif.

Menurut beliau, mesyuarat itu bersetuju untuk memperkukuh aspek pengesanan dan rawatan menerusi Crime Data Network Analysis serta pelaksanaan Drug Assessment Centre (DAC) oleh AADK yang menggunakan pendekatan Single Point Entry.

“Kita tidak boleh menang perang ini secara bersendirian. Justeru, saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan, pemuda-pemudi agar kita bersatu.

“Jika kita mahu masa depan negara ini bebas daripada ancaman dadah maka perjuangan ini mesti menjadi perjuangan kita bersama.

“Saya tegaskan, kerajaan tidak akan berganjak walau seinci pun dalam memerangi dadah demi melindungi generasi pewaris negara. Sama-sama kita doakan agar usaha ini dipermudahkan oleh Allah,” kata Ahmad Zahid.

Sebanyak 61 peratus daripada 192,857 penyalah guna dan penagih dadah di negara ini adalah dalam kalangan orang muda.

Menurut beliau, lebih 96 peratus dalam kumpulan penagih dan penyalah guna dadah ini adalah lelaki, yang didorong oleh pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here