KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tiba Tehran bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkaitan Sains, Penyelidikan, Teknologi dan Pendidikan Tinggi.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi hantaran di Facebook selepas menyempurnakan lawatan terdahulu di Kazan Forum, Rusia.
“Alhamdulillah saya selamat tiba di Iran untuk memenuhi jemputan ke mesyuarat ini.
“Saya akan menyampaikan kenyataan mewakili Malaysia pukul 10 pagi waktu Iran atau 4.30 petang waktu Malaysia.
“Doakan semuanya berjalan lancar dan Malaysia dapat melebarkan kolaborasi dalam pendidikan tinggi, penyelidikan dan mobiliti pelbagai bidang kemahiran,” katanya.
Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut merancang untuk menganjurkan Festival of Ideas (FOI) pada tahun ini dan akan menjemput rakan-rakan strategik termasuk dari Rusia serta negara-negara OIC untuk turut serta dalam program berkenaan.
Katanya, usaha tersebut selari dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan kerjasama antarabangsa serta pembangunan ilmu dan inovasi dalam kalangan negara Islam. – MalaysiaGazette