KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Eco-Shop Marketing Bhd bagi suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025 naik kepada RM61.72 juta daripada RM42.57 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat 17.2 peratus kepada RM736.35 juta daripada RM628.41 juta sebelumnya, terutamanya dipacu oleh peningkatan rangkaian kedai kumpulan itu menerusi pembukaan 26 cawangan baharu.

Ini menjadikan kesemua kedai Eco-Shop sebanyak 349 kedai bagi suku ketiga tahun kewangan 2025, berbanding 278 pada suku ketiga tahun kewangan 2024.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih syarikat melonjak kepada RM154.91 juta daripada RM114.01 juta, manakala pendapatan meningkat kepada RM2.10 bilion daripada RM1.76 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, peruncit barangan isi rumah mampu milik itu berkata, kumpulan kekal optimis unjuran masa depannya, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dua angka dalam hasil dan keuntungan selepas cukai yang dicatatkan pada tahun kewangan 2024.

Kumpulan bagaimanapun tetap berwaspada dan bersedia menangani pelbagai faktor dan risiko termasuk kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai 2025, katanya.

Di samping itu, cabaran lain yang perlu dihadapi seperti pelaksanaan sistem levi berperingkat yang mungkin meningkatkan kos pengambilan pekerja asing serta penguatkuasaan sumbangan wajib dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara.

Dengan pertumbuhan rangkaian kedai yang berterusan, kumpulan menjangkakan permintaan yang lebih tinggi terhadap keupayaan pengedaran dan penyimpanan stok.

“Bagi menyokong keperluan ini, syarikat merancang untuk memperkukuh infrastruktur logistik di Semenanjung Malaysia. Pembinaan pusat pengedaran separa automatik di atas tapak seluas 307,560 meter persegi di Klang, Selangor, dijangka bermula pada suku pertama 2026, dengan sasaran siap pada tahun kewangan 2027.

“Dengan peningkatan jumlah transaksi dan perbelanjaan pengguna yang dijangka bertambah hasil daripada kenaikan gaji minimum baru-baru ini, kumpulan menjangkakan prospek pertumbuhan yang positif dalam tempoh akan datang,” katanya.

-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here