Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Foto AIZAT ZAINAL, 25 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia terus mengekalkan trajektori positif pada April 2025, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-16 bulan berturut-turut sejak Januari 2024.

Perdagangan meningkat 18.2% tahun ke tahun kepada RM261.94 bilion, nilai bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Ogos 2022, disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dua digit eksport dan import pada bulan ini.

Lebihan dagangan yang ke-60 bulan berturut-turut telah direkodkan sejak Mei 2020, bernilai RM5.19 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, eksport mengembang 16.4% kepada RM133.56 bilion manakala import naik 20% kepada RM128.37 bilion.

Pertumbuhan eksport telah didorong terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan perkilangan, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatatkan peningkatan hampir RM16 bilion.

Sektor penting yang lain adalah keluaran pertanian, terutamanya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang turut memberi sumbangan kepada pengembangan keseluruhan eksport.

Dari segi pasaran, pertumbuhan eksport yang kukuh dicatatkan ke negara rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan ke Taiwan yang mencapai rekod tertinggi baharu.

Sementara itu, jumlah eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kembali meningkat dengan kukuh.

Antara pasaran yang mencatatkan pertambahan eksport ialah Mexico, India dan Korea yang disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E.

Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini.

Perdagangan meningkat 7.2% tahun ke tahun kepada RM977.61 bilion, eksport naik 7.3% kepada RM511.92 bilion dan import bertambah 7% kepada RM465.69 bilion.

Lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 10.4% kepada RM46.23 bilion.

Eksport bersih telah menyumbang kepada pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.4% pada suku pertama tahun 2025, menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain itu, laporan terkini Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) turut melaporkan, peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-24 dalam perdagangan global tahun 2024, berbanding kedudukan ke-26 pada tahun 2023.

Menyedari bagaimana cabaran perdagangan global berpotensi menjejaskan kadar pertumbuhan, MITI bersama agensi promosi eksportnya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang giat memperhebatkan usaha untuk meningkatkan eksport, di samping mempelbagaikan destinasi eksport Malaysia.

Selain mengekalkan hubungan erat dengan rakan dagang yang sedia ada, Matrade juga aktif meneroka pasaran baharu melalui pelbagai inisiatif strategik seperti pameran perdagangan antarabangsa, misi akselarasi eksport, program padanan perniagaan serta pelancaran platform Madani Digital Trade (MDT).

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan pengeksport Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) agar lebih berdaya saing di peringkat global dan mampu memperluaskan capaian ke pasaran antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast