Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat pusat pameran Velum Labs Cyber Intelligence Centre sambil diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dan Presiden & Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sapura Secured Technologies, Tan Sri Shahril Shamsuddin ketika Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) hari ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi tempatan, Velum Labs memperkenalkan inovasi terkini dalam bidang keselamatan dan pertahanan yang diperkasa dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sistem teknologi edge-deployed sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Sejak penampilan sulung di LIMA 2023 sebagai syarikat perisikan siber pertama di Malaysia, Velum Labs kini mempunyai keupayaan menyokong keperluan keselamatan negara.

Syarikat teknologi tempatan berkenaan turut mengeksport solusi yang dibangunkan secara tempatan ke pasaran antarabangsa.

Ketua pegawai eksekutifnya, Rizman Merican berkata, ia didorong oleh bakat digital tempatan yang semakin berkembang dan pelaburan berterusan dalam teknologi AI.

“Sebagai syarikat tempatan, kita harus memanfaatkan AI sebagai teras dalam menangani ancaman keselamatan masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Pameran tahun ini yang bertemakan Total Defence dipamerkan di sebuah pusat visualisasi imersif yang dikendalikan bersama syarikat induk, Sapura Secured Technologies (SST).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SST merangkap pengasas Velum Labs, Tan Sri Shahril Shamsuddin, gabungan teknologi AI oleh SST dan inovasi Velum Labs mewujudkan keupayaan pertahanan menyeluruh untuk Malaysia menangani ancaman dekad akan datang.

Pada masa sama, SST menyokong infrastruktur komunikasi misi kritikal negara turut bekerjasama dengan Velum Labs dalam membangunkan sistem perisikan sempadan generasi baharu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SST, Shakir Serpudin pula berkata, pihaknya dan Velum Labs teruja memperkenalkan teknologi kawalan dan perintah pintar berasaskan edge serta penyelesaian pengesanan ancaman masa nyata melalui platform teknologi Beyond Borders.

“Salah satu keunikan utama teknologi AI oleh Velum Labs dan SST ialah penggunaan algoritma canggih yang dilatih secara tempatan menggunakan set data kebangsaan yang dienkripsi bagi memastikan semua maklumat sensitif kekal dalam persekitaran kendalian yang selamat.

“Pendekatan berasaskan kedaulatan ini memperkukuh kawalan nasional, ketelusan dan kepercayaan serta memberikan kelebihan strategik kepada Malaysia dalam melindungi infrastruktur digital kritikal negara,” katanya.

Dalam pada itu, inisiatif yang sama juga mencerminkan hala tuju pertumbuhan strategik bagi kedua-kedua syarikat yang kini telah menembusi pasaran tempatan dengan minat yang semakin meningkat dari Eropah.

Dengan ancaman serantau yang semakin kompleks, Velum Labs dan Sapura merancang untuk memperluas peluang kerjasama di peringkat ASEAN melalui teknologi AI yang direka khusus bagi keselamatan dalam negeri, perlindungan sempadan dan operasi pelbagai domain.

Pameran Velum Labs dan SST sempena LIMA’25 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa boleh dikunjungi di Booth B010, Dewan A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Mahsuri (MIEC). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here