KUALA LUMPUR – Isu dalaman berkaitan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya ditanya dalam kumpulan WhastApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Peringatan itu ditujukan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kepada Ahli MPT, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang mempersoalkan berkenaan siri jelajah Bersatu ke seluruh negeri baru-baru ini.
“Soalan seperti ini boleh ditanya di dalam group WhatsApp MPT,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayshal yang juga Ahli Parlimen Machang mencetuskan spekulasi selepas memuat naik hantaran di laman sosial Facebook beliau yang mempersoalkan siri jelajah Bersatu tersebut.

Dakwa Wan Ahmad Fayshal, siri jelajah itu tidak menjemput Timbalan Presiden serta dua Naib Presiden, malah MPT juga tidak dimaklumkan mengenai program tersebut, sekali gus menyifatkannya sebagai sesuatu yang luar biasa.
Bersatu ketika ini sedang memulakan misi jelajah ke negeri-negeri khususnya yang bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi jelajah itu akan menjadi medium bagi parti itu mendengar taklimat awal berkaitan persiapan PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette