JOHOR BAHRU – Pelapis dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu mempunyai visi yang jelas dan berpandangan jauh ke depan.
Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim berkata, anak muda harus menjadi orang yang berani mengorak langkah ke hadapan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu percaya pemimpin-pemimpin muda AMK mempunyai ciri-ciri demikian seperti ditonjolkan dalam Rapat Angkatan Muda Keadilan (Rapat AMK 2025) yang diadakan di sini hari ini.
“Saya tengok di atas pentas hari ini, mendengar calon-calon berucap, ada yang meletakkan asas visi mereka untuk lima, enam tahun akan datang, maka saya yakin parti ini ada masa depan yang cerah.
“Yang menang nanti, buatlah kerja lebih baik dari mereka yang ada sekarang. Peluang sudah ada di hadapan, jangan tunggu ruang dibuka, tetapi bukalah ruang itu sendiri,” katanya dalam Rapat AMK 2025 di Berjaya Waterfront Hotel di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Kamil yang telah memenangi jawatan Ketua AMK tanpa bertanding, menyatakan hasrat supaya Rapat AMK diteruskan pada setiap kali pemilihan parti pada masa akan datang.
“Saya harap sikap baik ditunjukkan kita di AMK ini menjadi trensetter. Saya mohon mereka yang bertanding, yang menyokong dan yang berkempen, semangat serta energi anda tidak terhenti setakat ini sahaja.
“Lepas pemilihan, kita perlu turun lapangan, cari jalan kuatkan parti dan kukuhkan akar umbi. Ini tugas kita AMK untuk kukuh n kuatkan jentera parti di bawah.
“Kita juga harus cari jalan yakinkan bahawa AMK akan muncul sebagai wadah yang dipercayai dan menjadi harapan belia anak muda negara,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















