KENYATAAN media MCA berkenaan isu kenaikan harga LPG komersial yang membebankan para peniaga.

KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan mempertimbangkan semula langkah mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) komersial atau lebih dikenali sebagai tong gas ungu kepada peniaga khususnya pengusaha minuman dan makanan, kedai dobi dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Lawrence Low berkata, peralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14 kilogram (kg) berbanding RM26.60 hingga RM30 untuk gas subsidi menyebabkan peningkatan kos operasi para peniaga.

Jelasnya, kenaikan sehingga 2.5 kali ganda itu dibimbangi mencetuskan tindak balas berantai yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna.

Sehubungan itu, tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) harus mempertimbangkan dan menilai semula langkah itu dari pelbagai sudut, lebih-lebih lagi banyak PKS yang terjejas dikendalikan oleh individu daripada kumpulan pendapatan B40 serta M40, bukannya restoran mewah.

“MCA bersetuju sekiranya pengusaha perniagaan ini tidak dibenarkan daripada menggunakan LPG bersubsidi yang berharga RM26.60, namun dalam masa sama, MCA juga menyifatkan LPG komersial yang diwajibkan kepada mereka dengan harga RM70 setong adalah tidak munasabah.

“Oleh itu, MCA mencadangkan supaya harga yang lebih sesuai diperkenalkan agar ia tidak memberi kesan drastik terhadap pengusaha perniagaan dan pengguna atau pelanggan mereka terutama dalam kalangan B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, menurut Lawrence yang juga Naib Presiden MCA, pihaknya banyak menerima aduan daripada peniaga berhubung langkah pengutkuasaan KPDN berhubung dasar itu menerusi Ops Gasak yang dijalankan sejak 1 Mei lalu.

Sehubungan itu, ujarnya, MCA akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang terjejas termasuk Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association yang terjejas dengan dasar tersebut dalam masa terdekat.

Jelasnya, hasil pertemuan itu kelak akan dipanjangkan kepada kerajaan supaya penyelesaian menang-menang antara kerajaan dan PKS dapat dicapai.

“Apa yang penting bagi MCA, rakyat selaku pengguna seharusnya tidak lagi dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup yang kini sudah pun semakin membebankan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast