Keadaan kereta dipandu seorang lelaki warga emas yang cedera setelah terbabas dan merempuh kedai makan di Batu 13, Pantai Belimbing, Durian Tunggal, Melaka, petang tadi.

ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas cedera apabila kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah warung di Batu 13, Pantai Belimbing, Durian Tunggal di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu, mangsa pesara polis berusia 80 tahun mengalami bengkak di bahagian kepala dipercayai akibat terhantuk.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata ketika kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi sedang dalam perjalanan dari arah Pulau Sebang ke Taman Melaka Perdana.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

“Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu warga emas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebuah warung yang sedang beroperasi.

“Mujurlah ketika itu tiada pelanggan dan hanya mengakibatkan warga emas itu bengkak di kepala selain kerosakan pada kereta dan hadapan kedai akibat rempuhan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan kereta dipandu seorang lelaki warga emas yang cedera setelah terbabas dan merempuh kedai makan di Batu 13, Pantai Belimbing, Durian Tunggal, Melaka petang tadi.

Tambahnya, mangsa yang tinggal di Taman Dahlia, Bukit Beruang, Ayer Keroh telah dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast