Rapid Bus memperkenalkan perkhidmatan percubaan Demand Responsive Transit (DRT) yang pertama di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Selaku pengendali perkhidmatan Rapid KL On-Demand, Rapid Bus Sdn Bhd  memperkenalkan 13 zon baharu yang akan bermula Isnin ini.

Antara zon berkenaan adalah MRT Semantan-KTM Segambut; MRT Bukit Dukung – Sungai Sekamat; MRT Sungai Buloh-Bandar Rahman Putra; MRT Serdang Raya Selatan – Taman Bukit Serdang dan MRT Metro Prima – Taman Botani Keping (FRIM).

Zon seterusnya adalah MRT Kentonmen-Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC); MRT Sg. Jernih-Taman Puncak Saujana; MRT Serdang Raya Utara-Pavilion Bukit Jalil; MRT Taman Equine-Lestari Perdana; MRT Metro Prima -Taman Bukit Maluri; MRT Sri Delima-Sri Segambut; Kota Kemuning-Gamuda Walk Mall dan LRT Alam Megah-Alam Megah.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Amir Hamdan berkata, aplikasi baharu turut diperkenalkan dengan nama On-Demand.

Jelasnya, tempahan akan bermula dengan zon sambungan ke perkhidmatan MRT.

“Zon-zon yang boleh ditempah melalui aplikasi Rapid On-Demand yang baharu ini akan diperluas secara berperingkat bagi memberi kemudahan kepada para pengguna yang ingin menempah perkhidmatan Rapid KL On-Demand,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Amir, pelaksanaan aplikasi berkenaan memberi kemudahan kepada pengguna selain meningkatkan lagi pengalaman pelanggan bukan sahaja dari segi perkhidmatan yang ditawarkan malah dari segi tempahan.

“Dengan inovasi ini yang menitikberatkan aspek lestari, responsif serta mesra pengguna, kami menyasarkan untuk menjadikan pengangkutan awam pilihan utama penduduk di Lembah Klang,” jelasnya.

Katanya, sehingga kini perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini telah meliputi 47 zon dan menawarkan
jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari pukul 6 pagi sehingga 11.30 malam.

“Bagi menggalakkan orang ramai untuk mencuba perkhidmatan ini, khususnya sebagai sambungan perjalanan first-last mile tambang promosi RM1 untuk setiap perjalanan diteruskan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan beberapa jenis kad iaitu Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pad Perjalanan OKU Smile dan Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili.

“Para pengguna boleh memuat turun aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store untuk membuat tempahan dengan mudah. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast