KUANTAN – Seorang pesara guru wanita di Jerantut kerugian lebih RM200,000 akibat menjadi mangsa sindiket Phone Scam .
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, warga emas berusia 61 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa sebagai Ejen Insurans pada 31 Januari 2025.
“Mangsa dimaklumkan suspek bahawa terdapat tuntutan palsu insurans berjumlah RM68,000 atas nama mangsa.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang indidivdu mendakwa sebagai Pegawai Polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya yang meyakinkan mangsa terlibat dalam tuntutan insurans palsu dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Yahaya, mangsa seterusnya diarahkan suspek untuk membuka beberapa akaun bank dan memindahkan semua wang simpanan, wang ganjaran pencen dan pinjaman bank bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata, mangsa yang panik kemudian membuat sebanyak 24 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun berbeza antara tempoh 20 Februari sehingga 5 Mei lepas.
Bagaimanapun, katanya mangsa kemudian merasa tertipu setelah kerugian RM216,067.50 dan membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Justeru, Polis Kontinjen Pahang menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” kata Yahaya. – MalaysiaGazette
















