MELAKA – Seorang penolong pegawai perubatan lelaki cedera selepas ambulans dinaiki terbalik dalam kemalangan di Kampung Laya Luboh, Tangga Batu di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun dilaporkan cedera manakala pemandu ambulans lelaki berumur 40 tahun selamat.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Azuani Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.48 pagi sebelum lapan anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati sebuah ambulans dalam keadaan terbalik menyebabkan penolong pegawai perubatan lelaki berumur 30 tahun cedera.
“Pemandunya lelaki berusia 40 tahun bagaimanapun terselamat dan kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka menaiki ambulans lain untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan ketika kejadian ambulans terbabit sedang dalam perjalanan mengambil pesakit sebelum ia terbalik ketika melalui selekoh dipercayai akibat jalan licin selepas hujan.
Terdahulu, tular kemalangan itu yang mengakibatkan kesesakan jalan utama itu sejauh hampir satu kilometer. – MalaysiaGazette
















