Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Seorang ejen insurans kerugian berjumlah RM1,495,176 selepas diperdaya dalam satu skim penipuan pelaburan dalam talian menggunakan aplikasi dikenali sebagai XGI Horizon.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, lelaki berusia 57 tahun yang berasal dari Perai itu telah membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, semalam selepas menyedari dirinya ditipu.

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa mula terpedaya selepas melihat satu iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi menerusi aplikasi Facebook pada akhir Disember tahun lalu.

Hamzah Ahmad.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum diminta memuat turun aplikasi pelaburan tersebut.

“Dia diminta mendaftar sebagai ahli dan membuat pelaburan pertama berjumlah RM9,999 pada 30 Disember 2024 sebelum menerima pulangan awal sebanyak RM18,400 sekali gus membuatkan mangsa semakin yakin dengan skim berkenaan.

“Susulan itu, antara 17 Februari hingga 24 April lalu, mangsa telah membuat 35 transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza milik beberapa syarikat, dengan jumlah keseluruhan kerugian mencecah hampir RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan menerusi aplikasi tersebut.

“Lebih mencurigakan, apabila mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan sebagai syarat bagi pengeluaran.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana pelaburan, terutamanya yang diiklankan di media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast