PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan berpendirian, generasi kini terpaksa memikul `beban’ yang ditinggalkan oleh pihak terdahulu yang tidak menangani pertikaian berbangkit sehingga ditelan masa selama bertahun-tahun.
Hakim Datuk Lee Swee Seng berkata, sesetengah masalah diibaratkan seperti tin kosong yang boleh ditendang begitu sahaja di jalanan dan akhirnya seseorang perlu menanganinya.
“Ada harga yang perlu dibayar kerana sikap tidak acuh dalam membuat keputusan (lebih awal), ada kalanya generasi akan datang terpaksa memikul beban yang gagal diselesaikan oleh generasi terdahulu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya memindah hak milik tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB).
Panel itu bagaimanapun sebulat suara memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada SESB yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.
Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan memindahkan hak milik tanah itu kepada SESB.
Tanah eksklusif seluas 263.272 ekar (106.541 hektar) di Mukim Batu yang menjadi pertikaian hampir 70 tahun lalu, dibawa ke mahkamah selepas SESB bertegas ia diambil secara paksa oleh kerajaan.
Hakim Swee Seng (kini hakim Mahkamah Persekutuan) membuat keputusan itu bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Swee Seng memetik kata-kata penulis dan ahli psikologi Amerika Syarikat (AS), Virginia Satir perkara itu boleh diselesaikan lebih awal dengan mengambil usaha lebih wajar daripada semua pihak terbabit.
“Masalahnya bukanlah masalah itu sendiri; tetapi cara kita menghadapinya, itu yang menjadi masalahnya.
“Saya harap penghakiman hari ini pada satu tahap dapat memberikan kepastian dan kerangka untuk menangani kesan keputusan yang telah dibuat hampir 70 tahun lalu,” ujar beliau.
Hakim itu berharap keputusan mahkamah mampu menyedarkan pelbagai pihak dan menjadi satu peringatan tepat masalah yang gagal diselesaikan, tidak akan hilang begitu sahaja dengan berlalunya masa.

Sementara itu, Hakim Wan Ahmad Farid dalam penghakiman ringkasnya merujuk kepada penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Zura Yahya pada 2009 yang membenarkan SESB mengekalkan kepentingan faedahnya terhadap tanah yang menjadi pertikaian.
Ujar beliau, ini bermakna SESB hanya boleh menikmati faedah atau keuntungan daripada harta tak alih dan bukan kepentingan berdaftar terhadap tanah itu.
“Oleh kerana SESB berjaya mengekalkan kepentingan berfaedahnya terhadap tanah itu, JC Zura betul ketika membuat perintah bahawa syarikat itu berhak mendapat keuntungan yang akan ditaksir oleh Mahkamah Tinggi,” ujar beliau.
Beliau berpendapat, JC berkenaan tidak pernah membuat perintah supaya tanah yang dipertikaikan itu dipindah milik kepada SESB.
Menurut beliau lagi, tiada bukti SESB telah meminta penjelasan daripada JC berkenaan sebagai perintah berbangkit sama ada tanah yang dipertikai itu patut dipindahkan dan didaftarkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada syarikat berkenaan.
Katanya, ini bermakna, tiada percubaan dibuat oleh SESB untuk `menyelesaikan’ perintah berbangkit bagi memberi kesan kepada perintah awal dan syarikat berkenaan tidak menggunakan hak `kebebasan untuk memohon’ perintah itu pada masa material.
Oleh yang demikian, Hakim Ahmad Farid berpendapat, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membuat perintah supaya tanah yang dipertikaikan itu dipindah milik dan didaftarkan atas nama SESB, walhal tiada perintah sedemikian dikeluarkan oleh JC Zura.
Dengan keputusan itu, SESB mempunyai satu lagi peluang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette
















