Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras ke tengah laut di Pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras ke tengah laut di Pantai Bayu Senja, Batu Ferringhi di sini, hari ini.

Mangsa yang berasal dari Klang, Selangor dikatakan sedang berkelah bersama ahli keluarga kira-kira jam 10 pagi sebelum tiba-tiba ditarik ombak sejauh kira-kira 10 meter dari pesisir pantai.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang, kejadian tersebut disedari tiga anggota APM yang bertugas di Menara Tinjau APM selepas terdengar jeritan ibu mangsa kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa dilihat terkapai-kapai di tengah laut sebelum berjaya dikesan dan diselamatkan.

“Susulan itu, anggota penyelamat segera memberi rawatan awal serta bantuan pernafasan (CPR).

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan ambulans APM untuk rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Difahamkan, keadaan laut ketika itu dilaporkan bergelora dengan air pasang besar, dan bendera merah tanda amaran telah dinaikkan oleh pihak berkuasa.

Tambah jurucakap itu, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap keberadaan anak masing-masing ketika berada di kawasan pantai susulan kini peralihan musim Monsun Barat Daya yang menyebabkan keadaan laut tidak menentu dan berbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast