PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan tanah eksklusif Duta Enclave seluas 263.272 ekar (106.541 hektar) di Mukim Batu yang menjadi pertikaian hak milik hampir 70 tahun lalu, tidak dipindah milik kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng sebulat suara memerintahkan pampasan dibayar kepada SESB yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar. Pengurusan kes ditetapkan pada 30 Jun ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Ogos tahun lalu.
Ini bermakna, Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan semula tanah itu kepada SESB selepas panel berkenaan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya bertindak demikian.
Kerajaan merayu keputusan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh pada 7 Ogos 2024 yang membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap kerajaan.
Panel itu juga menolak rayuan balas SESB yang mahukan pemilikan tanah itu diserahkan kepada mereka.
Sementara itu, peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das ketika ditemui pihak media selepas prosiding berkata, SESB akan memfailkan penangguhan terhadap prosiding taksiran ganti rugi dan permohonan bagi kebenaran merayu keputusan hari ini, di Mahkamah Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili pihak kerajaan.
Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Swee Seng yang kini hakim Mahkamah Persekutuan berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 tidak mengarahkan kerajaan memindahkan semula tanah itu kepada SESB.
Beliau berpendapat, dalam kes yang membabitkan pemulangan semula tanah daripada kerajaan, mahkamah hanya boleh mengeluarkan perisytiharan bahawa sesuatu pihak berhak ke atas pemilikan, bukan perintah yang memaksa kerajaan memulangkan tanah itu.
“Perkara ini berasaskan prinsip undang-undang pentadbiran yang lebih luas bertujuan melindungi badan awam daripada gangguan terhadap pelaksanaan tugas-tugas awam mereka.
“Dalam kes ini, hampir 70 tahun sudah berlalu sejak kerajaan mengambil alih tanah itu pada Disember 1956. Pada masa itu, tanah tersebut itu hanya ditanam pokok getah.
“Namun, kawasan itu berubah menjadi sebuah kawasan pembangunan penuh dengan jalan raya, lebuh raya, jejambat dan pelbagai bangunan kerajaan,” katanya.
Hakim Swee Seng berkata, jika mahkamah memerintahkan tanah itu dipindahkan kembali kepada SESB, ia bukan sahaja memberi pemilikan tanah kepada syarikat itu, tetapi juga semua bangunan dan infrastruktur awam yang sudah dibina.
“Sebagai pemilik berdaftar yang sah, syarikat itu boleh secara sah menghalang orang awam daripada memasuki kawasan itu termasuk bangunan dan jalan raya, malah memagari tanah itu dan mengenakan bayaran untuk akses,” kata beliau.
Berhubung isu pampasan, Hakim Swee Seng berkata, panel itu bersetuju bahawa jumlah yang perlu dibayar harus berdasarkan nilai pasaran tanah pada masa kerajaan mengambil alih iaitu pada 3 Disember 1956, dan bukan mengikut nilai pasaran semasa.
“Jika pampasan dinilai berdasarkan nilai pasaran semasa, ia secara tidak langsung memberi ganjaran atas kelewatan pihak SESB.
“Syarikat itu hanya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada 2003, memperoleh perintah perisytiharan pada 2009, perintah mandamus pada 2017 dan seterusnya ditolak pada 2022.
“Tiada bukti yang menunjukkan SESB tidak menuntut haknya lebih awal, sekitar 1956.
“Sebarang kelewatan dalam menuntut hak melalui saluran undang-undang tidak boleh dipersalahkan ke atas kerajaan,” katanya.
Pertikaian undang-undang SESB bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu turut ditolak.
Pada Februari 2017, SESB memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009. – MalaysiaGazette
















