Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, Jonathan Vela memuji langkah berani dan progresif kerajaan dalam melaksanakan dasar pengambilan pelajar matrikulasi berdasarkan merit, namun menegaskan isu keselamatan pelajar kini perlu menjadi agenda utama.

Beliau merujuk keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menawarkan tempat ke program matrikulasi kepada semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang memperoleh 10A (A+ dan A sahaja), tanpa mengira latar belakang kaum.

Menurutnya, dasar baharu ini merupakan pencapaian penting ke arah sistem pendidikan yang lebih saksama dan inklusif.

“Ia adalah pencapaian bersejarah yang menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh prinsip meritokrasi serta memberi peluang saksama kepada semua rakyat, terutamanya pelajar dari komuniti India dan kumpulan minoriti lain yang sering berdepan cabaran dalam sistem pendidikan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata, kegembiraan terhadap pengumuman tersebut tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu keselamatan pelajar yang semakin membimbangkan, khususnya susulan insiden tragik di Cyberjaya baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang pelajar universiti ditemukan mati di bilik sewanya akibat kecederaan parah di kepala.

Polis mengesahkan kes itu sebagai kes bunuh dan kehilangan barang peribadi termasuk komputer riba serta kad ATM menguatkan keperluan siasatan menyeluruh.

“Insiden ini mengejutkan dan amat menyedihkan. Ia seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa keselamatan pelajar, baik di dalam mahupun di luar kampus, tidak boleh dikompromi,” katanya.

Sehubungan itu, Jonathan menggesa kerajaan untuk memperluas agenda reformasi pendidikan agar merangkumi aspek keselamatan pelajar, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan luar kampus yang lebih terdedah kepada risiko jenayah.

Beliau turut mencadangkan agar kerjasama lebih erat diwujudkan antara pihak berkuasa dan institusi pengajian tinggi dalam mempertingkat sistem keselamatan pelajar, termasuk pemasangan CCTV, rondaan berkala serta sokongan kaunseling psikososial.

Jonathan Vela

“Kes ini juga perlu disiasat secara telus dan adil, demi memberi keadilan kepada keluarga mangsa tanpa sebarang kompromi,” tegasnya.

Jonathan menegaskan bahawa, keadilan dalam pendidikan tidak akan sempurna tanpa jaminan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

“Anak muda yang menuntut ilmu berhak untuk dilindungi. Tanggungjawab kita bukan hanya membuka pintu universiti, tetapi memastikan mereka selamat sepanjang perjalanan sebagai pelajar dan insan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast