KETUA Hakim Negara ke-16, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib hari ini selepas menerajui badan kehakiman selama enam tahun.
Beliau yang merupakan wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman, menamatkan perkhidmatan secara rasmi selepas mencurah bakti selama 43 tahun sejak 1982.
Ketika ditemui wartawan di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari terakhir perkhidmatannya, Tun Tengku Maimun percaya beliau berjaya memulihkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.
“Harapan dan doa saya semoga legasi ini diteruskan oleh sesiapa yang menggantikan saya, khususnya oleh hakim yang masih kekal dalam jawatan.
“Kepercayaan ini berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada orang ramai sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Pagi ini pula, saya menerima ucapan penghargaan daripada peguam-peguam ketika mempengerusikan sidang terakhir di mahkamah terbuka,” ujar beliau.

Tengku Maimun turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam termasuk dari Sabah dan Sarawak yang memberikan sokongan padu kepadanya.
Ujarnya, kekuatan badan kehakiman bergantung kepada sokongan Badan Peguam dan orang ramai yang mana beliau sangat menghargainya.
Hari ini merupakan hari terakhir Tun Tengku Maimun berkhidmat sebelum mencapai usia 66 tahun esok, iaitu umur persaraan wajib hakim.
Hingga berita ini ditulis, tiada pengumuman kerajaan bahawa khidmat beliau disambung enam bulan lagi.
Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pada sidang terakhirnya pagi tadi, Tun Tengku Maimun menyampaikan dua keputusan berkepentingan awam iaitu rayuan enam individu termasuk bekas pakar patologi terhadap sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais.
Panel hakim turut menyampaikan keputusan rujukan persoalan perlembagaan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abdul Hadi berkaitan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Esok pula merupakan hari terakhir Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bertugas sebelum mencapai usia persaraan wajib hakim pada Khamis ini (3 Julai).

Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman pada 2 Mei 2019 menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April 2019 selepas lanjutan masa enam bulan.
Tengku Maimun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November 2018. Beliau memulakan tugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Januari 2013.
Beliau yang merupakan hakim wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1982.
Menurut laman web Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Tengku Maimun memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada tahun 1982 sebagai Pegawai Undang-Undang di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan kemudian pada tahun 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang di Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.
Beliau memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1986 sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang, Bahagian Gubalan di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Port Dickson dan Peguam Persekutuan di Biro Bantuan Guaman Kuala Terengganu.
Antara jawatan lain yang dipegangnya termasuk Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan berkhidamt sebagai Pegawai Khas kepada Hakim Besar Malaya dan seterusnya kepada Ketua Hakim Negara serta Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada tahun 2005 hingga 2006.
Pada 2 Oktober 2006, Tun Tengku Maimun dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Pada 5 September 2007, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam. – MalaysiaGazette
















