Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham (kanan) bersama Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda (kiri) bergambar bersama dengan moderator Haslina AR Kamaludin (tengah) ketika hadir pada program Dialog MG, Payung Besar Orang Melayu ketika di Ibu Pejabat MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 3 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mengajak Pemuda Pas bersemuka dalam sesi debat atau wacana terbuka yang bersifat profesional, berfakta dan bertujuan mencerdaskan rakyat.

Exco Pemuda Amanah, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin yang membuat pelawaan itu berkata, sudah tiba masa Pas menyahut cabaran untuk berbincang secara terbuka, selepas pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Amanah selama ini.

“Sebelum ini kita dah banyak kali jemput Pemuda Pas untuk bersama dalam wacana. Tapi apa yang kami terima hanyalah cercaan dan kata-kata yang saya kira tak manis.

Exco Pemuda Amanah, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin.

“Jadi mungkin kali ini saya gunakan peluang ini untuk menyeru Pemuda Pas sertai debat sebegini supaya kita lebih profesional, lebih berfakta dan ada niat yang ikhlas untuk mencerdaskan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Dialog MG: Payung Besar Orang Melayu atau Keperluan Politik yang diadakan, di sini, semalam.

Menurut Mohamed Nashrudin, medan debat dan wacana seperti itu perlu diperkasakan kerana ia membuka ruang kepada pemimpin muda mempertahankan idea dan dasar masing-masing secara terbuka.

“Saya percaya, ini satu-satunya medan untuk kita ‘contest idea’ dan biar rakyat nilai,” ujarnya.

Mengulas program malam semalam, beliau menyifatkannya sebagai platform penting untuk mendidik masyarakat berdasarkan fakta dan bukan semata-mata persepsi.

“Saya sangat gembira kerana objektif utama saya untuk highlight pimpinan muda dan memperlihatkan isi fikiran mereka tercapai dalam program ini,” tambahnya.

Wanita Muda Amanah, Nur Najihah Muhaimin.

Sementara itu, Wanita Muda Amanah, Nur Najihah Muhaimin turut menyambut baik wacana anjuran MalaysiaGazette dan menyarankan agar ia diperluas dengan melibatkan wanita muda dari Pas atau NISA.

“Saya sebagai wanita muda Amanah ingin mengajak Pas atau Muslimat Pas agar dapat bersama-sama kita duduk sepentas membincangkan politik dari kacamata wanita pula,” katanya.

Beliau percaya ramai wanita muda, khususnya dalam Amanah, memiliki latar belakang profesional yang mampu menyumbang secara aktif dalam wacana sebegini demi masa depan politik tanah air.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Zamir Ghazali.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Zamir Ghazali pula menyarankan agar dialog sebegini diperluas dengan mengambil kira pandangan pemimpin muda bukan Melayu.

Terutamanya pandangan mereka mengenai agenda Melayu, agar ia dapat difahami dalam kerangka yang inklusif dan berpandukan perlembagaan.

“Perkara 153 itu dasar afirmatif. Jadi kita juga ingin lihat bagaimana sudut pandang daripada kaum bukan Melayu terhadap dasar-dasar ini.

“Itu akan menjadikan wacana lebih menyeronokkan,” katanya.

Kesemua pimpinan muda Amanah itu turut menyarankan agar program sebegini dijadikan acara berkala demi merancakkan budaya politik sihat dan berfakta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast