KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi kelonggaran kepada pihak industri untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025 susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu dilaksanakan selepas mengambil kira maklum balas dan permohonan yang diterima daripada industri mengenai kesukaran untuk mematuhi kesemua keperluan operasi di bawah perubahan SST.
“Walau bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut,” katanya.
Menurut MoF, pendaftaran awal secara sukarela telah dibuka oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membolehkan pengilang mendaftar lebih awal sebelum pelaksanaan.
Justeru katanya, pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai 2025 dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.
Selain itu katanya, syarikat yang telah menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai 2025 akan terus menikmati pengecualian tersebut, tertakluk kepada tempoh dan syarat yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai 2025 dan telah mencapai nilai ambang yang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my.
MOF berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST. – MalaysiaGazette
















