Mayat mangsa ditemukan tersangkut pada sebatang kayu kira-kira 28kilometer daripada lokasi jatuh

PEKAN – Seorang buruh binaan warganegara Indonesia ditemukan maut selepas terjatuh daripada sebuah bot ketika memancing udang di Sungai Lengkor, Sri Makmur di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, mayat mangsa ditemukan pada pukul 9.10 pagi tadi kira-kira 28 kilometer daripada lokasi terakhir dia jatuh.

“Mangsa bernama Fahrul berusia 37 tahun dengan dua rakan yang juga warganegara Indonesia bersama seorang pemandu bot warga tempatan dilaporkan keluar menaiki bot untuk memancing udang pada pukul 1 pagi semalam.

“Menurut pemandu bot, pabila sampai di kawasan berhampiran Kampung Sungai Pinang, tiba-tiba bot itu telah terlanggar sebatang kayu besar lalu menyebabkan kesemua mereka terpelanting ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Zaidi, pemandu bot dan dua lagi rakan mangsa yang sempat naik ke atas bot mendapati mangsa hilang dan tidak dapat ditemui.

Ketiga-tiga mereka yang terselamat kemudian cuba mencari mangsa di kawasan berhampiran dan terus membuat laporan di Balai Polis Paloh Hinai kira-kira pukul 4.25 petang setelah gagal berbuat demikian.

“Pasukan menyelamat kemudian melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dan mayat mangsa kemudian ditemukan orang kampung pada pukul 9.10 pagi tadi kira-kira 28 kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pekan untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast