KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, yang secara terbuka mempersoalkan titah adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah adalah satu tindakan yang boleh dianggap sebagai tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
Lebih membimbangkan, tindakan Lip Eng juga jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih memahami kedudukan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan.
Lantaran itu, beliau tidak wajar mengelirukan rakyat dengan kenyataan bersifat retorik yang didorong oleh kepentingan politik semata-mata.
“Perlu ditegaskan bahawa Perkara 42(1) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau meringankan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera atau yang berlaku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Kuasa serupa turut terletak pada Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi kesalahan dalam negeri masing-masing.
“Isunya bukan kerana kes ini melibatkan Datuk Seri Najib semata-mata, tetapi kerana ini menyentuh soal prinsip keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang yang wajib dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Choo Seong mempersoalkan, jika DAP tidak bersetuju dengan peruntukan sedia ada dan ingin mencorakkan negara mengikut acuan ideologi mereka seperti termaktub dalam Deklarasi Setapak, adakah DAP yang mempunyai 40 Ahli Parlimen kini akan membawa usul pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat.
Tegasnya, ejak awal proses undang-undang membabitkan Najib, MCA sentiasa menghormati keputusan mahkamah dan tidak pernah mencampuri urusan kehakiman.
“Kami tidak pernah mendesak, mempertikai, atau memperlekeh sistem keadilan negara, apatah lagi menghasut rakyat untuk berdemonstrasi di jalanan.
“Apabila titah adendum dikeluarkan, MCA tetap konsisten menjunjung prinsip yang sama. Kuasa prerogatif ini adalah hak Seri Paduka Baginda seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, dan mesti dihormati semua pihak,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan adakah Lip Eng atau mana-mana pemimpin DAP pernah bersuara lantang seperti ini ketika pengampunan penuh diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU-14, yang membolehkannya kembali aktif dalam politik dan akhirnya menjadi perdana menteri.
“Mengapa ketika itu kuasa pengampunan diraja dianggap wajar dan tidak dipersoalkan, tetapi hari ini apabila melibatkan Datuk Seri Najib, ia tiba-tiba dianggap tidak sah?,” soalnya sambal membidas sikap ‘double standard’ seperti ini amat berbahaya dan tidak wajar dibiarkan kerana ia mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan dan boleh menjejaskan keharmonian sistem pemerintahan negara yang berpaksikan Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan.
MCA menegaskan kuasa pengampunan diraja adalah sebahagian daripada keluhuran Perlembagaan serta lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu dan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya hanya kerana perbezaan pandangan politik.
“Ini adalah asas Perlembagaan yang perlu dihormati dan dijunjung oleh semua pihak tanpa mengira parti,” katanya. – MalaysiaGazette
















