Mohamad Ali Mohamad

MELAKA – Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman sivil sebanyak RM100 juta terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu berkata, tuntutan itu adalah atas dakwaan pakatan jahat Ab Rauf untuk menjatuhkan reputasi beliau melalui rakaman audio disyaki suaranya sejak tiga bulan lalu.

Dakwanya, ia selepas pasukan peguamnya mempunyai laporan forensik audio yang mengesahkan suara dalam rakaman yang tular April lalu adalah milik Ketua Menteri Melaka selain beberapa saksi lain.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya berhak untuk menyaman Ab Rauf di atas pakatan jahat tersebut yang telah memburukkan nama, reputasi dan kewibaan saya.

“Apa yang telah dimaklumkan oleh pasukan peguam saya, kita mungkin akan menyaman Ab Rauf sebanyak RM100 juta dan kalau ini berlaku, semuanya akan terbongkar di mahkamah,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Menurut bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu, beliau sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung dakwaan konspirasi jahat yang dikaitkan dengan  Ab Rauf namun pihak polis masih belum memanggilnya untuk dirakam keterangan meskipun didakwa sebagai suspek utama.

“Saya sudah kemukakan semua saksi dan mereka sendiri mendedahkan pakatan jahat yang dilakukan…saya masih yakin pihak polis akan menjalankan siasatan.

“Minggu depan, saya juga akan membuat secara bertulis kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi melindungi hak sebagai warganegara,” katanya.

Pada 15 April lalu, Mohamad Ali ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM berkaitan dakwaan rasuah.

Ab Rauf kemudiannya menafikan sebarang penglibatan dalam perkara itu dan berkata, spekulasi yang mengaitkan dirinya tidak mempunyai sebarang asas.

Terdahulu, tular video berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial yang mana tertera kenyataan media individu dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu dan salah satunya didakwa mirip suara Ab Rauf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast