Oleh: Ismail Hashim Yahaya
MALAYSIA kini berada di persimpangan geopolitik yang bukan sahaja menguji keupayaan diplomatik negara tetapi juga kredibiliti moral dan konsistensi
prinsip yang selama ini menjadi teras kepada pengwajahan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur pada Oktober depan serta pelantikan Nick Adams sebagai Duta baharu AS ke Malaysia telah mencetuskan gelombang persoalan yang tidak boleh dipandang ringan.
Trump bukan sekadar pemimpin kontroversi. Beliau membawa rekod dasar luar yang menyokong penindasan Israel terhadap rakyat Palestin termasuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan pengurangan bantuan kepada pelarian Palestin. Sementara Adams pula seorang tokoh konservatif yang terkenal dengan
retorik Islamofobia, persona “alpha male” yang sering mencetuskan provokasi, dan tiada pengalaman diplomatik dilihat sebagai pelantikan yang mencabar sensitiviti budaya dan nilai Malaysia sebagai negara majoriti umat Islam.
Anwar selama ini tampil sebagai suara lantang menentang kezaliman dan ketidakadilan sejagat. Dalam ucapan di Sorbonne beliau menyifatkan perang Gaza sebagai “keruntuhan nurani” dan menyeru agar hubungan dengan kuasa besar ditentukan semula secara berprinsip. Di pentas ASEAN beliau menegaskan bahawa rantau ini mesti menjadi suara bagi yang tertindas dan menolak retorik selektif kuasa hegemonik.
Namun jemputan kepada Trump dan pelantikan Adams mencipta jurang antara prinsip yang dijulang dan tindakan semasa yang kelihatan akomodatif. Di sinilah dilema moral dan naratif muncul: adakah Malaysia sedang bergeser daripada idealisme kepada pragmatisme? Atau adakah ini strategi pengimbangan yang lebih halus dalam menghadapi tekanan geopolitik? Dalam konteks ini terdapat pandangan-pandangan negara telah mula menyuarakan penolakan terhadap pelantikan Adams. Bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim menyifatkan Adams sebagai “provokateur partisan” yang tidak layak mewakili AS di Malaysia dan menyeru agar kerajaan menolak pelantikan tersebut secara tegas.
Pemuda Amanah menggesa Putrajaya menolak pencalonan pengulas konservatif Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang baru, dengan mendakwa pelantikannya akan membuka ruang kepada kemasukan ideologi yang bertentangan dengan dasar dan nilai Malaysia. Tanpa berselindung menyatakan bantahannya terhadap Adams, Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar menyifatkan pencalonan itu sebagai satu “penghinaan” terhadap maruah dan dasar luar Malaysia.
“Nick Adams bukan diplomat, “Nick Adams bukan diplomat, bukan negarawan. Beliau hanyalah seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis tegar, serta penyokong lantang rejim Zionis Israel. Manakala Khairy Jamaluddin menyuarakan sokongan terhadap gesaan agar kerajaan menolak Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baharu. Khairy membangkitkan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang membenarkan negara untuk menolak duta yang dilantik ke negara itu. “Kini terpulang kepada Wisma Putra (Over to you Wisma Putra),” katanya di Instagram hari ini.
Dalam laporan media antarabangsa seperti The New York Times, Adams digambarkan sebagai seorang “penyokong tegar” Trump yang telah membina pengaruh konservatif melalui media sosial. Beliau dikenali bukan kerana pengalaman diplomatik, tetapi kerana persona dalam talian yang menonjolkan simbol maskuliniti stereotaip—seperti makan stik, mengangkat berat, dan kerap mengunjungi restoran Hooters yang terkenal dengan pelayan wanita berpakaian seksi.
Imej ini bukan sahaja mencerminkan gaya komunikasi yang provokatif tetapi juga menimbulkan persoalan besar tentang kesesuaian beliau untuk mewakili AS di Malaysia, sebuah negara yang menjunjung nilai kesopanan, keharmonian budaya, dan diplomasi yang beretika. Dalam konteks hubungan dua hala, pelantikan Adams dilihat sebagai satu penyimpangan daripada tradisi menghantar diplomat berpengalaman yang memahami sensitiviti serantau dan nilai masyarakat tuan rumah.
Malaysia mempunyai hak penuh di bawah Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961) untuk menolak mana-mana calon duta tanpa perlu memberikan sebab rasmi. Penolakan terhadap pencalonan Adams bukanlah tindakan bermusuh dengan AS tetapi satu pernyataan tegas bahawa Malaysia tidak akan membenarkan ruang diplomatiknya dijadikan medan penyebaran ideologi ekstrem atau retorik yang bercanggah dengan keharmonian sosial dan dasar luar negara.
Dalam konteks ini, Malaysia berhak menentukan siapa yang layak mewakili negara asing di tanah airnya, selaras dengan prinsip saling hormat dan keadilan antarabangsa. Penolakan ini bukan tindakan bermusuh, tetapi satu pernyataan bahawa Malaysia tidak akan menjadi medan ujian bagi ideologi ekstrem atau retorik yang mencabar keharmonian sosial dan prinsip diplomatik negara.
Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada ucapan lantang di pentas antarabangsa. Konsistensi prinsip mesti dizahirkan dalam tindakan—termasuk ketika berdepan tokoh yang mewakili nilai yang bercanggah dengan jati diri diplomatik kita. Jika tidak, prinsip itu hanya akan dilihat sebagai retorik, bukan kompas tindakan sebenar. Menolak pelantikan Adams secara berprinsip dan berhikmah boleh menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang bermaruah dan berani mempertahankan nilai sejagat.
Ia juga akan menghantar mesej jelas kepada Washington bahawa Malaysia menghargai hubungan dua hala yang dibina atas dasar saling hormat, bukan dominasi ideologi. Malaysia telah mula membina reputasi sebagai suara nurani Global South—menentang dominasi unilateral, memperjuangkan keadilan struktur, dan menuntut kesetaraan dalam perdagangan dan diplomasi.
Jemputan kepada Trump dan pelantikan Adams adalah ujian terhadap naratif ini. Jika Malaysia berjaya mengurus kontradiksi ini dengan keberanian dan kejelasan prinsip, maka kita akan memperkukuh kedudukan sebagai pengimbang naratif dunia. Namun jika gagal, kita berisiko dilihat sebagai negara yang hanya menjulang prinsip ketika mudah dan melonggarkannya ketika ia menuntut keberanian sebenar.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabanga.
















