KUALA LUMPUR – Nick Adams hanyalah pempengaruh murahan yang mengikut telunjuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan dilihat tidak layak dilantik menjadi Duta Besar ke Malaysia.
Malah Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah Nasional, Mus’ab Muzahar menegaskan, individu itu juga ekstrem dan anti terhadap Islam.
Sebab itu, katanya, pencalonan individu itu perlu ditarik semula.
“Pencalonan Nick Adams jelas satu bentuk provokasi kepada rakyat Malaysia dan ini mencalar maruah kita sebagai rakyat. Mereka (AS) sedang membuat provokasi dan kita tidak boleh terima diplomat yang tidak shared common value (tidak berkongsi pendirian, prinsip yang sama) dengan rakyat Malaysia.
“Menghantar diplomat yang jelas menyokong genosid dan Islamofobic, diplomat seperti ini tidak diterima di sini,” katanya ketika sidang media gabungan sayap parti Pakatan Harapan (PH) itu di sini hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh Ketua Penerangan AMK Malaysia, Ahmad Danish Hairudin dan Ketua Biro Antarabangsa AMK Malaysia, Arief Izuadin.
Ahmad Danish menjelaskan, Malaysia berhak untuk menolak pencalonan duta baharu itu ke negara ini apatah lagi terdapat alasan kukuh untuk tidak menerimanya.
Pada masa yang sama, tambahnya, kerajaan juga berhak mempertimbangkan calon yang sederhana dan lebih sesuai untuk pendirian majoriti rakyat Malaysia.
“Kita juga minta kerajaan memastikan wakil diplomatik itu mampu memperkukuhkan kedudukan dua hala dalam landskap hubungan Malaysia dengan AS,” ujarnya.
Sementara itu, Arief berkata, gabungan sayap berkenaan akan mengadakan himpunan bantahan pencalonan Adams dan penyerahan memorandum di Kedutaan AS esok pada pukul 2 petang.
Jelasnya, ia merupakan solidariti bantahan bersama-sama rakyat membantah pencalonan Adam yang menunjukkan rekod memecahbelahkan, mengeluarkan bersifat provokatif dan tidak selari dengan norma masyarakat majmuk di Malaysia.
“Malaysia menjunjung dasar luar negara yang bebas dan berprinsip, serta mengutamakan nilai keharmonian, keadilan dan saling menghormati dalam hubungan antarabangsa.
“Justeru, sebarang calon duta ke negara ini mestilah memahami dan menghormati sensitiviti budaya, agama dan nilai kemasyarakatan tempatan,” katanya yang memberi jaminan akan meneruskan sesi penerangan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sebagai rekod, Donald Trump pada 11 Julai lalu mengumumkan pencalonan Adams yang juga bekas penggubal dasar dan Datuk Bandar sebuah bandar di Australia sebagai calon Duta Besar ke Malaysia. – MalaysiaGazette
















