GEORGE TOWN – Belum genap setahun keluar dari tirai besi atas hukuman kes dadah – seorang lelaki berusia 62 tahun sekali lagi dicekup – selepas terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM2.3 juta.
Suspek yang memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah itu ditahan bersama seorang rakannya berusia 40 tahun dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula 3 petang, Rabu lalu sehingga 2.30 pagi keesokan harinya.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek warga emas itu dilakukan di sebuah kediaman di Jelutong sebelum suspek kedua ditahan di lokasi sama.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 150 paket plastik berwarna keemasan dan biru serta sembilan botol pelbagai saiz berisi serbuk MDMA seberat 13,465 gram.
“Turut dirampas dua biji pil ekstasi, satu biji pil Erimin 5 dan peralatan memproses dadah, selain wang tunai RM1,220 serta dua buah kereta jenis Kia dan Volkswagen Passat.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM2,319,995,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.
Tambah Mohd Alwi, hasil siasatan mendapati suspek warga emas itu baru keluar penjara tahun lalu atas kesalahan dadah selain mempunyai kepakaran dalam memproses dadah.
“Sindiket itu dipercayai kembali aktif sejak Mac lalu dengan menjadikan rumah sewa itu sebagai makmal dan stor simpanan dadah.
“Kesemua dadah itu dipercayai untuk pasaran pusat hiburan tempatan dengan harga jualan RM300 bagi setiap paket.
“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette















