Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Pengulas politik konservatif yang juga penulis, Nick Adams tidak dialu-alukan sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak menentukan siapa yang layak serta asas pertimbangan yang digunakan untuk seseorang diterima sebagai duta di negara ini.

Pencalonan Adams bukan sahaja tidak sesuai, malah disifatkan sangat bermasalah memandangkan beliau tidak dikenali dengan sikap berdiplomasi.

Sebaliknya, ujar Sivaraj, Adams lebih menonjol sebagai seorang yang provokatif dan sering mempamerkan dirinya sebagai seorang `lelaki alfa’ (ideologi lelaki dominan).

“Malaysia tidak terpengaruh dengan karekter maskulin sedemikian tetapi kita mengutamakan diplomasi, sikap kerendahan hati dan saling menghormati.

“Lebih membimbangkan, Adams telah membuat kenyataan yang mengguris hati rakyat Malaysia apabila menyamakan sokongan terhadap rakyat Palestin dengan sokongan terhadap keganasan yang mana pandangan itu bukan sahaja jahil malah berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Sivaraj, Malaysia tidak memerlukan seorang wakil asing yang dilihat boleh memecahbelahkan negara sebelum pun individu berkenaan menjejakkan kaki ke negara ini.

Sedangkan tugas seorang duta adalah membina hubungan baik, memahami negara tuan rumah dan mewakili negaranya dengan cara memupuk keharmonian.

“Malangnya Adams, sebelum pun tiba di Kuala Lumpur, sudah pun merosakkan harapan itu. Ia bukan diplomasi tetapi penghinaan di sebalik protokol,” katanya.

Sehubungan itu, Sivaraj menggesa kerajaan menerusi Wisma Putra menyatakan pendirian dengan tegas untuk menolak persetujuan terhadap pencalonan Adams berkenaan.

Pendirian itu bukan bermaksud satu tindakan untuk bermusuhan, sebaliknya atas dasar mempertahankan kedaulatan negara.

“Kita mengalu-alukan AS sebagai rakan tetapi rakan sebenar tidak menghantar utusan yang memperlekehkan prinsip atau mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

“Jika AS benar-benar ingin mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, negara itu seharusnya menghantar seorang diplomat sebenar, bukan personaliti media sosial yang mempunyai pandangan kontroversi,” katanya.

Ketika ini, bantahan terhadap pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke negara ini semakin kuat dengan kemuncaknya menerusi demonstrasi aman rakyat daripada pelbagai latar belakang politik di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak petang tadi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast