KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencalonkan tokoh konservatif pro-Zionis, Nick Adams sebagai dutanya ke Malaysia dibidas.

Sayap pemuda parti dalam kerajaan menganggap pencalonan itu sebagai satu penghinaan terhadap kedaulatan negara.

Dalam himpunan bantahan di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak hari ini, wakil-wakinya menegaskan, Malaysia tidak boleh berkompromi dengan individu berkenaan.

Lebih-lebih lagi individu yang menyokong pembunuhan kanak-kanak di Gaza dan memperlekeh perjuangan rakyat Palestin.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Mus’ab Muzahar berkata, amaran itu bukanlah kosong kerana ia melibatkan pengorbanan kanak-kanak di Gaza.

“Trump jangan main-main dengan Malaysia. Kami boleh halau bila-bila masa mereka yang khianat terhadap pengorbanan kanak-kanak di Gaza. Ini bukan amaran kosong.

“Malaysia adalah negara berdaulat. Trump tak boleh suka-suka hati hantar siapa dia nak ke sini tanpa persetujuan kita. Malaysia bukan koloni AS,” katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum bantahan di sini hari ini.

Mus’ab turut menjelaskan, Malaysia berhak menolak mana-mana pencalonan diplomat asing berdasarkan Artikel 4 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik.

Selain itu, pencalonan Nick Adams jelas bertentangan dengan nilai budaya serta sensitiviti rakyat Malaysia.

“Nick Adams bukan hanya tokoh kontroversi. Dia simbol kepada politik kebencian, ekstremisme dan Islamofobia. Malaysia tidak boleh memberi laluan kepada individu yang menjadikan diskriminasi sebagai agenda utama,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Asmaaliff Abdul Adam menggariskan tiga alasan utama mengapa pencalonan Adams perlu ditolak.

“Malaysia adalah negara yang bermaruah. Pencalonan Nick Adams belum lagi muktamad. Kita sebagai negara penerima berhak untuk menolak mana-mana calon diplomat yang ingin dihantar ke sini,” katanya.

Asmaaliff turut menyentuh tindakan Trump yang pernah mengenakan cukai 25 peratus terhadap Malaysia tetapi kini mahu menghantar pula individu yang menyokong kekejaman rejim Zionis ke negara ini.

“Trump jangan cabar kami. Nama Malaysia sedang meningkat di pentas antarabangsa dan kita tidak akan benarkan sesiapa memperlekehkan prinsip kemanusiaan dan kedaulatan negara.

“Kami boleh halau bila-bila masa individu yang berkhianat terhadap perjuangan rakyat Palestin terutama sekali kanak-kanak di Gaza,” tegasnya.

Dalam nada berseloroh tetapi menyindir, beliau berkata, Malaysia sudah cukup ramai tokoh bernama ‘Nick’.

“Kami sudah ada Nik Aziz, Nik Abduh, Nik Nazmi dan cukup. Terlalu banyak dah Nik di Malaysia. Kami tak perlukan Nick Adams. Hantarlah orang lain,” katanya.

Beliau menegaskan, himpunan tersebut bukan yang terakhir dan akan diteruskan sekiranya pencalonan itu tidak ditarik balik.

“Kami datang daripada parti-parti dalam kerajaan. Kalau perlu, kami akan serahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk menolak pencalonan ini secara rasmi, demi prinsip negara dan  solidariti kita terhadap rakyat Gaza,” katanya.

Himpunan itu disertai oleh kira-kira 70 peserta daripada sayap pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan iaitu Pemuda PKR, Pemuda AMANAH dan DAPSY, serta wakil-wakil NGO termasuk IKRAM yang mula berkumpul berhampiran kedutaan itu sekitar jam 2.00 petang tadi.

Memorandum bantahan telah diserahkan kepada wakil Kedutaan AS dalam acara yang berlangsung selama hampir satu jam itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast