Mayat seorang lelaki dewasa ditemui terapung dan tersangkut pada ranting di tebing Sungai Batang Tatau, Sarawak, pagi tadi. Ihsan Foto: Bomba

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dewasa ditemui terapung dan tersangkut pada ranting di tebing Sungai Tatau, Tatau, Sarawak, pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis Tatau pada jam 10.03 pagi bagi mendapatkan bantuan mengangkat mayat berkenaan.

“Sebaik tiba di bawah Jambatan Tatau, anggota bomba bersama polis menurunkan sebuah bot aluminium milik polis sebelum bergerak kira-kira empat kilometer menyusuri sungai ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat kemudian menemui mayat seorang lelaki dewasa dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting di tebing sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat tersebut dibawa naik ke atas bot dan dihantar ke Jeti Pasar Lama Tatau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast