FAHMI Fadzil sewaktu mengikuti pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. - Foto: FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kepekaan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat serta komitmen untuk meringankan beban melalui pelbagai bentuk bantuan.

Dalam masa sama, katanya, Kerajaan MADANI akan terus berusaha mengimbangi keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, langkah yang diambil itu juga adalah hasil pertimbangan teliti dan berlandaskan prinsip keadilan sosial serta kemampanan ekonomi.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat, serta memacu kestabilan ekonomi negara.

“Pendekatan yang diumumkan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini antara lain mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelan akhir September ini.

Turut diumumkan adalah tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah MADANI serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemarakkan semangat cinta kepada tanah air.

“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan, dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat rakyat seluruhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast