Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan melaksanakan langkah menyeluruh bagi menangani isu kenaikan harga makanan serta krisis kesihatan awam yang semakin meruncing di negara ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, rakyat semakin tertekan dengan kos makanan yang meningkat, dan ramai membelanjakan hampir satu pertiga daripada pendapatan mereka untuk keperluan makan sahaja.

Jelas beliau, krang ramai kecewa dan mempersoalkan kewajaran kenaikan ini, namun tidak mencari penyelesaian untuk berdepan dengan cabaran berkenaan.

“Justeru satu daripada langkah penting ialah memupuk budaya hidup berjimat cermat melalui kempen kesedaran melibatkan pelbagai peringkat masyarakat termasuk pelajar, sektor awam dan swasta serta isi rumah.

“Kita menyarankan inisiatif seperti kebun komuniti, ladang atas bumbung dan pasaran digital dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan kos pengangkutan makanan.

“Usaha ini bukan sahaja boleh membantu kawal harga makanan, malah berpotensi mewujudkan pekerjaan hijau untuk belia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohideen turut berkongsi beberapa petua memasak yang dapat membantu isi rumah menjimatkan perbelanjaan dan masa, antaranya merancang menu lebih awal, menyimpan stok asas dan menggunakan peti sejuk dengan bijak.

Tiada yang setanding dengan makanan dimasak di rumah, yang lebih sihat dan menjimatkan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tabiat pemakanan rakyat juga perlu diberi perhatian serius. Masakan di rumah perlu digalakkan semula memandangkan makanan yang dikomersialkan sering tidak sihat dan mahal.

“Negara kita sedang berdepan krisis kesihatan. Malaysia antara negara tertinggi di Asia Tenggara dengan kadar diabetes, strok dan penyakit jantung.

“Rakyat Malaysia mengambil purata 26 sudu teh gula setiap hari dan kadar obesiti serta penyakit tidak berjangkit semakin meningkat meskipun pelbagai kempen kesihatan telah dijalankan.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Pendidikan memperkenalkan kelas memasak wajib di sekolah untuk semua pelajar, Kementerian Kesihatan melaksanakan kempen berkesan bagi menggalakkan pemakanan sihat manakala Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyokong kebun komuniti dan ladang bumbung secara aktif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast