GEORGE TOWN – Penang Hindu Association (PHA) menggesa Kementerian Kesihatan mewujudkan kaunter Help Desk di setiap hospital dan klinik kesihatan kerajaan bagi membantu warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan rawatan tanpa kesukaran.
Presidennya, Datuk P. Murugiah berkata, langkah itu penting berikutan pertambahan populasi warga emas di Malaysia yang kini menjadi antara golongan paling ramai mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“PHA menerima beberapa aduan daripada warga emas yang sukar mencari bilik rawatan seperti bilik konsultasi, farmasi, x-ray dan rawatan susulan kerana lokasinya terletak di aras berbeza atau tidak berdekatan.
“Ramai terpaksa bertanya kepada pesakit lain untuk mencari arah. Ini menyulitkan lagi golongan uzur dan yang bergerak perlahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mencadangkan supaya setiap hospital menyediakan kaunter bantuan yang dikendalikan petugas terlatih atau patient navigator bagi memandu arah pesakit ke lokasi rawatan dengan mudah.
“Perkhidmatan pelanggan sama penting dengan rawatan perubatan. Dengan adanya kaunter ini, ia bukan sahaja memudahkan pesakit tetapi juga boleh mengurangkan beban sistem kesihatan seperti masa menunggu dan kekeliruan pentadbiran.
“Inisiatif memperkasa fasiliti hospital kerajaan dengan peralatan moden wajar dipuji namun aspek khidmat pelanggan juga perlu diberi perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette
















