BATU PAHAT – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar lori dalam kejadian di Jalan Minyak Beku di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat mendapati kejadian tersebut pada pukul 9 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa motosikal ditunggang warga emas itu sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Segenting, Minyak Beku menghala ke pusat bandar Batu Pahat.
“Apabila sampai di tempat kejadian motosikalnya hilang kawalan dan terbabas sendiri di atas jalan dan dilanggar sebuah lori yang sedang bergerak dari arah yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berumur 73 tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara pemandu lori itu yang juga seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau berbahaya.- MalaysiaGazette
















