KUALA LUMPUR – Lebih RM31.4 bilion aset hasil jenayah rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjaya dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Tindakan itu membuktikan penjenayah tidak akan mampu menikmati kekayaan haram mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya turut melucuthakkan harta bernilai RM28 bilion hasil pelbagai operasi siasatan berskala besar.
Antaranya, Op Metal yang membongkar sindiket penyeludupan besi dengan penyitaan aset bernilai lebih RM183 juta, projek rangkaian fiber membabitkan hartanah bernilai RM620 juta serta rampasan aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang individu bergelar Tan Sri yang menyimpan 217 jam tangan mewah dan 27 beg tangan berjenama.
“Dalam kes penyelewengan dana pembinaan lebuh raya, SPRM menyita lebih RM36 juta aset termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank.
“Setiap operasi itu adalah bukti SPRM sentiasa proaktif mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah serta pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, penyitaan dan pelucuthakan aset adalah langkah kritikal memastikan penjenayah tidak menikmati hasil aktiviti haram mereka.
Ini sekali gus menghantar mesej jelas bahawa jenayah tidak akan pernah mendatangkan keuntungan.
“Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM berperanan memulihkan dan melucuthakkan harta alih dan tidak alih yang diperoleh daripada jenayah, termasuk 41 harta tidak alih yang sedang menunggu pelupusan ketika ini.
“Tindakan ini bukan sahaja mengembalikan hasil kepada negara malah membina semula keyakinan rakyat terhadap integriti agensi penguat kuasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette















