Rahmad Mariman

MELAKA – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri diarah melakukan siasatan terperinci kes dakwaan buli terhadap lebih 20 pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Sungai Udang di sini awal pagi Sabtu lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya kesal kejadian itu terus berlaku walaupun peringatan, pekeliling, nasihat dan lawatan dan operasi telah dibuat JPN sebelum ini.

“Saya ingin tegaskan tiada toleransi terhadap sebarang bentuk kesalahan murid, khususnya salah laku buli dan pihak PPD serta JPN juga tidak akan berkompromi dalam isu ini.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan serta kebajikan murid sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sejurus menerima laporan, pihak sekolah telah mengambil langkah awal dengan menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai insiden tersebut.

“Kerajaan negeri memandang serius kes ini kerana ia menyentuh aspek keselamatan, kebajikan serta hak murid untuk berada dalam suasana pembelajaran yang selamat, beretika dan kondusif.

“Justeru semua sekolah dingatkan agar memperkukuh kawalan serta mempergiatkan program penerapan nilai, sahsiah dan pencegahan salah laku murid dalam kalangan pelajar,” tegasnya lagi.

Laporan eksklusif MalaysiaGazettte semalam mendedahkan insiden kes buli terhadap lebih 20 pelajar perempuan berkenaan sehingga ada yang mengalami bengkak dan melecet pada kaki.

Menurut sumber, kejadian didakwa berpunca apabila kesemua pelajar terbabit lewat pulang ke asrama minggu lalu menyebabkan beberapa pelajar senior memanggil pelajar junior pada pukul 3 pagi 16 Ogos lalu.

Sumber berkata, pengadu berusia 15 tahun mendakwa, seramai lebih 20 pelajar kemudian berkumpul di koridor tingkat tiga asrama perempuan sebelum ketua asrama puteri memanggilnya bersama seorang lagi pelajar dan mengarahkan mereka berjalan itik selama 30 minit.

“Selain itu dakwa mangsa, ada beberapa lagi pelajar disuruh melakukan ketuk ketampi dan mereka yang datang lewat akan ditambah hukuman.

“Akibatnya, dua pelajar berkenaan mengalami bengkak dan melecet di kaki malah seorang daripadanya memaklumkan dia kerap dibuli ketua pelajar terbabit,” katanya.

Sumber menambah, mangsa sebelum ini tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana takut akan menjadi sasaran buli seniornya itu di asrama.

Mangsa bagaimanapun telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada jam 1 pagi 17 Ogos lalu selepas bimbang tentang keselamatan dirinya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast