BUTTERWORTH – Bekas penasihat tuntutan sebuah firma guaman didenda RM97,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua individu membabitkan urusan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, A. Ari, 37, selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Ari didakwa menipu seorang lelaki, Muhammad Helmi Abd Rahman, 36, dengan memperdayakannya untuk mempercayai dia boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian Hilang Upaya Kekal (HUK) yang tinggi oleh jemaah doktor dalam tuntutan Perkeso sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM50,000 pada September 2023 di sebuah restoran di Seberang Jaya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut menipu seorang lagi lelaki, Mohammad Azrin Ibrahim, 29, dengan modus operandi sama sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM47,200 kepadanya.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.
“Sekiranya mahkamah ingin membenarkan hukuman berbentuk denda saya mohon sejumlah denda yang munasabah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, S. Parameswaran yang mewakili tertuduh dalam mitigasi rayuan memohon mahkamah mengenakan denda minima antara RM25,000 hingga RM30,000 terhadap anak guamnya.
“Ini kerana anak guam saya kini bekerja sebagai pemandu lori bergaji RM4,000 hingga RM5,000 sebulan selepas dipecat daripada firma guaman selain menanggung ibu, isterinya suri rumah serta dua anak berusia 10 dan 12 tahun.
“Anak guam saya telah menjimatkan masa mahkamah dengan mengaku salah, insaf selepas direman empat hari dan berjanji tidak akan mengulanginya.
“Selain itu, walaupun menerima wang terbabit bukan keseluruhan diambilnya malah dia terpaksa menggadai barang kemas isteri untuk dapatkan RM60,000 bagi membayar denda,” katanya.
Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette
















