BUKIT MERTAJAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di laman Facebook miliknya yang didakwa menimbulkan kegentaran serta keselamatan awam.
Muhamad Akmal, 37, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memuat naik kenyataan di akaun Facebook “Akmal Saleh” jam 3 petang pada 11 Ogos lalu yang dilihat serta didengar seorang lelaki di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Precint 1 @ Sunway Wellesley di sini.
Dalam video itu, Akmal didakwa menuntut Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan ke atas individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam tempoh dua hari dan sekiranya tiada pendakwaan beliau turun mengajar individu dirujuknya sebagai “apek” cara memasang bendera dengan betul.
Kenyataan itu boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Mohd Nordin Ismail manakala Muhamad Akmal diwakili barisan 11 peguam diketuai Aizat Azam.
Semasa prosiding, pihak pembelaan memohon agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000.
Aizat turut memohon mahkamah menganggap kes itu bukan “kesalahan serius” memandangkan hukuman penjara maksimum ditetapkan kurang daripada 10 tahun.
“Muhamad Akmal juga perlu menyara isteri dan dua anak yang masih kecil serta bersekolah selain melaksanakan tanggungjawab rasmi sebagai wakil rakyat, EXCO Kerajaan Negeri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” hujahnya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah jaminan RM2,000 yang dicadangkan pihak pembelaan itu tidak realistik dan memohon ikat jamin RM10,000.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Muhamad Akmal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 September depan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen.
Terdahulu, beliau diiringi isterinya, Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus tiba jam pagi 8.20 pagi disambut dengan bacaan selawat serta laungan ‘Hidup Pemuda’ oleh penyokong terdiri daripada Pemuda UMNO dari seluruh negara.
Muhamad Akmal berbaju kurta putih, kelihatan tenang malah melaungkan “lawan tetap lawan” ketika disapa petugas media.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama tiga individu lain berhubung kenyataan yang didapati menggugat ketenteraman awam di media sosial.
Sementara itu, Muhamad Akmal menerusi catatan di Facebook mengesahkan beliau akan pulang dari Mekah untuk menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini. – MalaysiaGazette
















