Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 apabila 15 peratus daripada penduduknya berusia 60 tahun ke atas.

Pengerusi Gabungan Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN), Ir Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin berkata, fenomena itu memerlukan perancangan teliti agar warga emas mendapat perlindungan menyeluruh dari segi kesihatan, sosial, ekonomi, dan keselamatan.

Menurut beliau, sekiranya tiada persiapan, ia boleh menimbulkan cabaran besar seperti tekanan terhadap sistem kesihatan, peningkatan kadar kemiskinan warga emas dan pengabaian sosial.

“Peningkatan kos penjagaan kesihatan akan melibatkan warga emas yang memerlukan rawatan kesihatan yang lebih intensif kerana terdedah kepada penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, dan dementia.

“Kos rawatan yang tinggi membebankan mereka terutama yang tiada simpanan atau perlindungan insurans.

“Sistem kesihatan awam juga berpotensi mengalami tekanan kerana peningkatan permintaan perkhidmatan geriatrik,” katanya pada Sidang Pakar: Persiapan Negara Tua 2030 – Perlindungan Warga Emas anjuran ACCIN di sini hari ini.

Ir Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin

Mengulas lanjut, Mohd Jamaludin berkata, jangkaaan cabaran lain apabila ramai warga emas tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung hidup selepas bersara.

Katanya, kadar pencen yang rendah atau tiada pencen untuk sektor tidak formal menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada anak-anak atau bantuan kerajaan.

“Selain itu, kes pengabaian warga emas semakin meningkat akibat perubahan struktur keluarga, urbanisasi, dan sikap individualistik.

“Warga emas berisiko menghadapi kesunyian, tekanan emosi dan kemurungan jika tiada sokongan sosial yang mencukupi.

“Pada masa sama, kemudahan awam seperti pengangkutan, jalan raya, dan bangunan masih tidak mesra warga emas seperti tiada lif dan tiada laluan kerusi roda.

“Selain itu, negara masih kekurangan pusat penjagaan yang berkualiti dan mampu milik serta kekurangan pakar geriatrik, jururawat, dan penjaga profesional yang terlatih untuk mengurus warga emas.

“Standard penjagaan juga tidak seragam, menyebabkan wujudnya risiko pengabaian atau penderaan di pusat jagaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast