KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memuktamadkan kriteria untuk subsidi bersasar RON95, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, kriteria tersebut perlu lebih terangkum mengambil kira penggunaan RON95 oleh rakyat biasa jauh lebih meluas berbanding diesel.
Jelasnya, ramai menggunakan petrol RON95 dalam perjalanan ulang alik ke tempat kerja dan kerajaan akan memastikan rakyat biasa tidak terbeban berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi.
Selain itu, kerajaan juga sedang meneliti penggunaan kriteria yang telah digunakan bagi diesel bagi penetapan kriteria kelayakan subsidi bersasar RON95.
“Kelayakan subsidi tidak semestinya terhad kepada 85% daripada rakyat. Malah, perdana menteri menjelaskan kerajaan akan mengkaji opsyen sekurang-kurangnya 90% atau lebih tidak terkesan semasa pelaksanaan penyasaran subsidi RON95,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN).
Dalam persoalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini kini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat, khususnya apabila kerajaan mengumumkan satu kategori baharu dikenali sebagai T15 yang dikatakan tidak lagi layak menerima subsidi.
Namun, sehingga kini tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung definisi kategori T15, kaedah pengklasifikasian atau mekanisme pengesahan dan rayuan bagi rakyat yang terkesan.
Oleh itu, beliau bertanya apakah indikator dan asas penentuan yang akan digunakan oleh kerajaan untuk menyenaraikan individu atau isi rumah dalam T15. Adakah ia berdasarkan kepada pendapatan kasar, pendapatan boleh belanja, lokasi tempat tinggal, jenis kenderaan atau sumber data lain yang tidak dikemaskini.
Tambahnya, seperti diumumkan perdana menteri semasa Ucapan Penghargaan Untuk Rakyat, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian lanjut bakal diumumkan menjelang akhir September 2025.
Langkah ini perlu kerana sekian lama dasar subsidi pukal hanya membebankan fiscal negara dan tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat.
Amir berkata, pada masa ini, kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan termasuklah mempelbagai mekanisme pelaksanaan meliputi pengujian penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar ini dilaksanakan secara efisien tanpa merumitkan rakyat.
“Mekanisme MyKad ini diaplikasi dengan memasukkan MyKad ke dalam terminal pembaca MyKad yang disediakan oleh kerajaan. Terminal ini akan berhubung dengan Pangkalan Data Berpusat Kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.
Sekiranya layak rakyat dapat membeli minyak RON95 pada harga bersubsidi RM1.99/liter, sekiranya tidak pembayaran dibuat mengikut harga di pam, tanpa bersubsidi, katanya. – MalaysiaGazette
















