KUALA LUMPUR – Kerajaan pada masa ini sedang dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan.
Ini termasuklah mempelbagai mekanisme pelaksanaan meliputi pengujian penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar tersebut dilaksanakan secara efisien tanpa merumitkan rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan juga giat bekerjasama dengan syarikat minyak bagi mengkaji penyediaan pilihan kepada pengguna.
Ini termasuk opsyen membeli minyak bersubsidi dari pam tanpa ke kaunter pembayaran serta penggunaan aplikasi syarikat minyak demi memastikan proses berjalan lancar dan mengelakkan sebarang kesesakan (bottleneck) di stesen minyak.
“Pelaksanaan inisiatif ini dilaksanakan dengan penuh teliti agar rakyat tidak merasakan sebarang perbezaan ketara dalam pengalaman mereka sama ada semasa melakukan pembayaran secara tunai, menggunakan kad, mahupun kini melalui integrasi penggunaan,”katanya dalam ucapan sesi kamar khas berkenan Isu dan Permasalahan Rasionalisasi Subsidi Petrol RON95, hari ini.
Ia bagi menjawab soalan yang diutarakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Selain itu, Amir Hamzah menjelaskan, penggunaan MyKad pula akan diaplikasikan dengan memasukkan kad tersebut ke dalam terminal pembaca MyKad yang disediakan oleh kerajaan.
Terminal tersebut menurut beliau akan berhubung dengan Pangkalan Data Berpusat Kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.
Sekiranya layak, rakyat dapat membeli minyak RON95 pada harga bersubsidi RM1.99/liter dan jika tidak, pembayaran dibuat mengikut harga di pam, tanpa bersubsidi.
Katanya, ia merupakan kaedah yang sama digunakan dalam penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di mana setiap penerima yang dikenalpasti layak akan didaftarkan secara automatik dan akan menerima bantuan barangan keperluan asas melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, kriteria untuk subsidi bersasar RON95 belum dimuktamadkan.
Kerajaan katanya, turut meneliti penggunaan kriteria yang telah digunakan bagi diesel bagi penetapan kelayakan subsidi bersasar RON95.
Bagaimanapun, dengan mengambil kira penggunaan RON95 oleh rakyat biasa jauh lebih meluas berbanding diesel, adalah wajar pendekatan lebih terangkum diambil dalam menentukan golongan yang layak untuk subsidi.
“Lebih ramai menggunakan petrol RON95 dalam perjalanan ulang alik ke tempat kerja, sehubungan itu kerajaan akan memastikan rakyat biasa tidak terbeban berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan menggunakan pangkalan data PADU sebagai rujukan bagi penentuan kelayakan penyasaran subsidi.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan tetap akan menyediakan saluran portal awam bagi menyemak kelayakan, serta menubuhkan sebuah pusat perhubungan (contact centre) bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan, memberi maklum balas atau membuat aduan melalui pelbagai saluran bagi memastikan pengalaman pengguna kekal lancar dan inklusif. -MalaysiaGazette
















