SEGAMAT – Tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima susulan gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 3.2 yang berlaku pada pukul 8.59 pagi tadi di daerah ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat dalam satu kenyataan memberitahu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau keadaan semasa.
“Pihak berkuasa keselamatan serta agensi-agensi berkaitan juga sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat,” menurutnya dalam kenyataan.
JPBD memaklumkan, pusat gegaran dikesan yang berlaku berhampiran kawasan Segamat turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor serta selatan Pahang.
Pihaknya meminta orang awam bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan lain serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa,” jelas kenyataan itu.
JPBD Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Terdahulu penduduk di daerah ini dan kawasan berhampiran dikejutkan dengan gegaran gempa bumi lemah pada magnitud 3.2 yang berlaku pukul 8.59 pagi tadi.
Gegaran tersebut merupakan yang ketiga berlaku di daerah ini selepas gegaran pertama pada Ahad dengan magnitud 4.1 pada pukul 6.13 pagi sebelum gegaran kedua pukul 9 pagi.
Sementara gegaran berukuran 2.8 magnitud dilaporkan di Yong Peng pada pukul 9 pagi hari yang sama.- MalaysiaGazette
















