PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan proses penilaian hartanah Duta Enclave di Mukim Batu berkaitan penentuan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB).
Panel tiga hakim diketua oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh SESB sementara menunggu kebenaran merayu syarikat itu, didengar pada 6 November ini.

SESB diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das manakala Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan yang diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan tidak membantah penangguhan tersebut.
Penangguhan itu dibenarkan secara sebulat suara oleh Hakim-Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
SESB memohon menggantung keputusan Mahkamah Rayuan pada 24 Jun lalu yang memerintahkan kerajaan dan pakar penilaian SESB menilai hartanah seluas 263.272 ekar (106.541 hektar) dalam tempoh 90 hari daripada tarikh keputusan.
Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Mahkamah Tinggi selanjutnya memperincikan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada SESB ekoran pengambilalihan tanah secara haram, berdasarkan kepada kadar pasaran pada tahun 1956 dengan faedah enam peratus setahun sehingga pembayaran.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Lee Swee Seng ketika memutuskan demikian pada 24 Jun lalu, bersetuju bahawa jumlah yang perlu dibayar harus berdasarkan nilai pasaran tanah pada masa kerajaan mengambil alih iaitu pada 3 Disember 1956, dan bukan mengikut nilai pasaran semasa.
Syarikat berkenaan telah menerima pampasan sebanyak RM1.32 juta pada 1956 bagi pengambilan tanah, namun jumlah itu kini dianggap tidak mencukupi selepas keputusan mahkamah mengenai pencerobohan.
Pada prosiding hari ini, Mahkamah Persekutuan turut menetapkan 6 November bagi mendengar permohonan SESB untuk kebenaran merayu berhubung isu pendaftaran hak milik tanah yang tidak dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.
SESB mengemukakan 26 persoalan undang-undang dalam usaha mengetepikan keputusan tersebut.
Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan agar tanah yang menjadi pertikaian sejak 70 tahun lalu, tidak didaftarkan semula kepada SESB, sebaliknya memerintahkan pampasan dibayar kepadanya.
Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pertikaian undang-undang SESB bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu turut ditolak.
Pada Februari 2017, SESB memfailkan saman terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009. – MalaysiaGazette
















