ANGGOTA Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah (OCJS) sempena Sambutan Ambang Merdeka 2025 di Melaka, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan bersama seorang wanita 49 tahun dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah (OCJS) sempena Sambutan Ambang Merdeka 2025 di Melaka, awal pagi tadi.

Lelaki tempatan itu yang merupakan duda berasal dari Segamat, Johor ditahan bersama wanita yang merupakan janda yang juga warga tempatan dalam serbuan di sebuah hotel di pusat bandar Melaka.

Ketika ditahan, pasangan berkenaan memberikan alasan mendaftar masuk ke hotel kerana kepenatan selepas menyaksikan pertunjukan bunga api pada malam merdeka, serta berhasrat menonton perbarisan kemerdekaan pada keesokan harinya.

Kedua-dua mereka juga merayu supaya tidak diambil tindakan kerana malu sekiraya diketahui oleh anak-anak masing-masing yang telah dewasa.

Menurut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, pasangan berkenaan merupakan antara lapan pasangan atau 16 individu berusia antara 25 hingga 65 tahun yang ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bermula pukul 12.30 pagi hingga 5 pagi tadi.

Menurut beliau, daripada keseluruhan yang ditahan, lima daripada mereka merupakan warga tempatan, manakala 11 yang lain ialah warga asing.

“Selain penduduk negeri ini, ada yang ditahan juga datang dari negeri lain dan mereka ada yang bekerja sendiri, peniaga kedai makan, tukang cuci, operator pengeluaran kilang, pembantu kedai perabot, pegawai ladang dan kerani syarikat swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah, Rahmad antara alasan yang diberikan suspek ketika ditahan termasuk mahu berehat bersama pasangan selepas menyambut ambang kemerdekaan.

Selain itu ada pasangan yang mendakwa mendaftar masuk ke hotel kerana mahu menjadi antara yang terawal untuk menyaksikan sambutan hari kemerdekaan pada pagi semalam, selain ada yang sedang bercuti sempena cuti umum dan hujung minggu di negeri itu.

“Kesemua suspek telah ditahan untuk disiasat dan dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

Sementara itu, Rahmad berkata, operasi penguatkuasaan tersebut dilaksanakan bertujuan membendung gejala sosial dan maksiat seperti kes kehamilan dan kelahiran anak luar nikah yang semakin membimbangkan.

Jelasnya, ia juga merupakan tindakan pencegahan yang merupakan suatu bentuk intervensi sosial dan moral.

“Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam perlakuan maksiat dan gejala sosial yang merugikan diri dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast