Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, N. Balasubramaniam.

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menolak sekeras-kerasnya tuduhan Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), P Waytha Moorthy yang mendakwa kepimpinan India dalam DHPP terdiri daripada individu tidak berpendidikan dan tidak mempunyai rekod khidmat masyarakat.

Ketua DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan JP berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak berasas malah memperlekehkan usaha DHPP dalam membela kepentingan masyarakat bukan Islam di Malaysia.

“DHPP bukan sekadar mewakili kaum India tetapi mewakili seluruh masyarakat bukan Islam. Malah Pas memperkasakan DHPP dengan melantik wakil kami sebagai pegawai khas di negeri-negeri ditadbir Pas bagi memastikan hak-hak masyarakat bukan Islam sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, rekod DHPP menunjukkan banyak isu masyarakat bukan Islam di negeri-negeri Pas berjaya ditangani dengan baik serta menolak dakwaan DHPP hanya sekadar boneka.

Mengulas tuduhan Waytha Moorthy bahawa pemimpin DHPP tidak berpendidikan, Balasubramaniam menegaskan, barisan kepimpinan DHPP terdiri daripada individu profesional pelbagai latar belakang.

“Kami ada pemimpin berkelulusan PhD, jurutera, doktor, peguam, usahawan, aktivis masyarakat dan anak muda graduan universiti. Mereka bukan sahaja berpendidikan malah berkhidmat untuk masyarakat dengan penuh dedikasi,” tegasnya.

Tambah beliau, DHPP percaya kepimpinan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kelayakan akademik tetapi melalui keikhlasan, kesungguhan dan kerja lapangan untuk membela rakyat.

Dalam masa sama, Balasubramaniam menyindir kegagalan Waytha Moorthy ketika menjadi menteri yang diberi mandat khusus untuk membela masyarakat India.

“Beliau gagal mengangkat agenda masyarakat India, malah meletakkan jawatan tanpa meninggalkan legasi membanggakan. Kini, MAP sendiri hanya bergantung kepada dirinya tanpa kepimpinan pelapis,” katanya.

Sehubungan itu, DHPP akan terus komited membawa suara masyarakat bukan Islam dengan pendekatan inklusif, berhemah dan berfakta.

“Kami menyeru semua pihak menghentikan politik fitnah dan penghinaan. Rakyat berhak mendapat politik yang matang, membina dan berpandangan jauh,” tegas Balasubramaniam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast