Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan dalam sebuah longkang berhampiran rumah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal, Alor Gajah, petang tadi.

ALOR GAJAH – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah longkang berhampiran rumah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa warga Myanmar, 29, yang merupakan pemegang kad UNHCR dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum ditemukan tidak bernyawa di lokasi berhampiran Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC).

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sany Sahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang melalui MERS 999.

“Sebuah jentera dari BBP Ayer Keroh bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, dapati seorang lelaki berada dalam longkang rumah pencawang TNB.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkan mayat sebaik pihak TNB memutuskan bekalan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi turut dibantu 10 anggota polis, dua pegawai TNB dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes namun masih dalam siasatan polis.

“Butiran lengkap mangsa yang telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat masih belum diperolehi setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast